Band Kerispatih menjanjikan kelainan dengan kemunculan album keenam mereka yang berjudul Delapan .

Melalui Delapan, kumpulan itu menyajikan muzik dengan genre akustik, selain penyanyi muda berbakat serta jelita, Sruti Respati yang menyanyikan intro lagu berjudul Demi Cinta.

Kami mahu membuktikan muzik Kerispatih boleh diterjemah walau dalam pelbagai aliran. Kerana itu kami menjemput Sruti Respati agar lagu kami mempunyai elemen etnik,” kata Badai  pemain keyboard untuk Kerispatih.

Sruti, 34, kelahiran Solo, Jawa Tengah terkenal kerana mendendangkan lagu dalam bahasa Jawa.

Penyanyi itu pernah tampil menyanyikan lagu pembukaan untuk Sukan SEA 2011 dan menerima pelbagai anugerah di dalam dan luar negara.

Kerispatih mengadakan sidang media pelancaran album Delapan di Nagaswara Menteng Jakarta Indonesia semalam.

Meski Kerispatih masih sinonim dengan tema pop romantik, band yang ditubuhkan pada 2003 itu menggarap Delapan dengan susunan muzik yang baru.

Lirik Demi Cinta ditulis sendiri oleh Sruti dalam bahasa Jawa, namun uniknnya, tidak ada satu anggota Kerispatih yang memahami maksud tersirat lagu itu.

“Liriknya ditulis dalam bahasa Jawa. Ia ditulis dalam bentuk pantun yang sukar diterjemahkan ke bahasa Indonesia.

"Cuma Sruti menyifatkan maksud lirik adalah: aku akan selalu menyintaimu,” kata Badai selaku pencipta dan pengarah muzik album Delapan.

Album itu mengandungi 13 lagu lama dan dua lagu baru.

Selain Sruti, beberapa pemuzik seperti pemain violin Hendry Lamiri, Rejoz The Groove, dan Krisna yang pernah bermain harmonika untuk Slank turut membantu menyiapkan album itu.