Selepas tiga tahun beroperasi secara atas talian, saluran radio Tamil popular, SoupFM dilancarkan secara rasmi semalam.

Menggunakan slogan Ithu Hot Machi stesen radio itu dilancarkan oleh Presiden Institut Berkanun Pemasaran Malaysia, Tan Sri Dr James Alfred di Subang Jaya.

Pengasas SoupFM Jason Ravichandran  ( gambar, kiri ) berkata ketika ini stesen berkenaan diakses lebih 18,000 peminat daripada pelbagai kumpulan umur dan daripada jumlah itu, 60 peratus adalah pendengar dari Malaysia dan Singapura. Selebihnya dari pelbagai negara, termasuk AS, Norway, Fiji dan Panama.

Kata Jason, stesen radio itu kini dikendalikan 10 deejay berbakat, termasuk dirinya sendiri.

Untuk sampai ke tahap sekarang, katanya, dia mengalami pelbagai detik sukar untuk merealisasikan impiannya.

Azam mula sendiri

Berbekalkan keazaman, cita-cita dan bakat anak kelahiran Taiping Perak itu tidak jemu mencari peluang untuk bertapak dalam industri penyiaran sebagai deejay. Malangnya kurang bernasib baik dan sering pula gagal.

“Saya datang ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai deejay. Saya melalui begitu banyak temuduga tetapi semua permohonan itu ditolak,” katanya di sidang media sempena pelancaran SoupFM itu.

Atas alasan itu, Jason berazam untuk menubuhkan sebuah stesen radio atas talian sendiri dan usaha itu dimulakan pada 16 Oktober 2012.

Kemudahan Internet memang membuka ruang kepada orang sepertinya untuk menggapai impian masing-masing.

“Saya beritahu pada diri sendiri, saya tidak lagi mahu mencari peluang, sebaliknya mahu memberi peluang kepada orang lain pula.

“Bila tiada peluang untuk berjaya, kita harus mencipta peluang itu sendiri,” katanya .

Mahu beri peluang

Selain meyalurkan hiburan kepada pendengar, SoupFM juga dijadikan platform kepada sesiapa saja yang berusia 35 tahun ke bawah untuk mencuba diri menjadi artis.

Selepas tiga tahun kini Jason tidak lagi bersendirian. Di belakangnya ada Integral Ventures yang melabur sekurang-kurangnya RM100,000 untuk menjayakan impian itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Integral Ventures, Sri Kumar Harichandran ( gambar atas, kanan )  berkata, ada begitu banyak bakat mahu menjadi deejay, tetapi tiada ruang.

"Jadi kami beri peluang sekali lagi kepada individu yang impiannya pernah terkandas,” katanya.

SoupFM beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 malam setiap hari dikendalikan Jason dan sembilan deejay lain - kebanyakannya pelajar yang bekerja secara sambilan.

Akses untuk SoupFM boleh dicapai melalui Facebook, Twitter, YouTube, TuneIn dan aplikasi android.

Peminat juga boleh memuat turun aplikasi SoupFM melalui App Store.