Wak Khalid: Kalau Zahid berbohong bagaimana?
Pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Asia Pasifik muncul lagi mengulas isu semasa.
Kali ini Khalid Salleh menempelak Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwanya "membocorkan rahsia" negara apabila mendedahkan wujud "komplot menjatuhkan kerajaan" ketika ini.
Aktor filem Jogho itu berkata, Ahmad Zahid sebagai menteri dalam negeri sepatutnya menyiasat dan memperincikan maklumat yang ada secara tuntas.
Kalau perlu, katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan mengikut undang-undang seperti Akta Hasutan.
Khalid kemudian membandingkan keadaan itu dengan nasib dialami pasukan petugas khas yang menyiasat isu 1MDB sebelum ini.
"Perkembangan semasa mereka yang disyaki membocorkan rahsia siasatan berkait dengan 1MDB atau siasatan Pasukan Petugas Khas mahu pun SPRM, juga BNM telah diberkas. Malah pejabat mereka juga turut digeledah oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia) walhal mereka semua bertugas untuk kedaulatan negara dan kepentingan rakyat seluruhnya.
Bocor rahsia negara
"Apabila menteri dalam negeri sendiri telah membocorkan bahkan mendedahkan rahsia adanya komplot yang kononnya mahu menggulingkan kerajaan, PDRM atau Ketua Polis Negara misalnya tidak perlukah menjalankan siasatan benar atau bohongnya apa yang didedahkan oleh Zahid Hamidi itu?
"Kalau bohong apa tindakannya, dan kalau benar apa tindakannya kerana Zahid telah membocorkan rahsia yang boleh menggugat kententeraman awam," katanya.
Pada 15 Ogos lalu Ahmad Zahid mengejutkan ramai apabila mendakwa ada pemimpin Umno sedang mengetuai gerakan untuk menjatuhkan kerajaan melalui "pintu belakang" melalui sokongan ahli parlimen pembangkang.
Naib Presiden Umno itu berkata, sebagai menteri dalam negeri beliau difahamkan mereka ini sedang menyediakan akuan bersumpah (SD) untuk menggulingkan kerajaan.
Khalid yang juga terkenal sebagai pelakon teater berkata pendedahan Ahmad Zahid itu menyebabkan wujud pelbagai spekulasi dan 'pendedahan' di Internet.
Macam-macam gaya
Beberapa pihak juga, katanya, mengaitkan beberapa nama penting di kalangan ahli Umno dalam gerakan berkenaan.
"Hari ini (18 Ogos 2015) mereka yang didakwa kononnya antara yang berkomplot menggulingkan kerajaan terpampang wajahnya di suratkhabar.
"Sudah pasti masing-masing terperanjat dan menafikan dakwaan tersebut," kata beliau di Facebook.
Kesan kenyataan Ahmad Zahid itu, kata Khalid, menimbulkan kekalutan di kalangan ahli dan penyokong Umno secara keseluruhan.
"Sejak kabinet baru ini macam-macam gaya, cara dan aksi masing-masing menteri termasuk Majlis Tertinggi (Umno), tidak terkecuali ketua-ketua bahagian supaya dilihat dan diperhatikan di samping ‘berkerja keras’ membersihkan nama ‘boss’nya yang terpalit dengan berbagai isu sehingga mencalarkan nama negara di mata dunia.
"Demikian ragam lakon atau wayang politik yang menjerumuskan ramai manusia tersesat dan terlepas dari pegangan manusiawi dan agamanya masing-masing," katanya.

