Slash mula lupakan sengketa dengan Axl Rose
Apabila Slash menyatakan dalam satu temu bual bahawa dia tidak lagi berseteru dengan Axl Rose, ia tentulah berita cukup baik untuk peminat Guns N' Roses.
Di Sweden Slash mendedahkan ada kemungkinan dia akan beraksi bersama band itu semula selepas melakukannya pada kali terakhir kira-kira 22 tahun silam.
"Barangkali ia sudah berlalu lama.
"Tapi kamu tahulah, perasaannya sangat hebat sekarang. Sesetengah aspek negatif terpendam lama elok dibiarkan menghilang," kata Slash kepada stesen televisyen Sweden, Aftonbladet TV semalam.
Kali terakhir Slash dan Guns N' Roses beraksi bersama di atas pentas adala di Buenos Aires, Argentina pada 1993.
Sejak itu dia sering diajukan soalan mengenai keinginan peminat mereka disatukan semula.
Jawab berhati-hati
Baru-baru ini Slash sendiri - ketika ditanya isu sama - menyatakan pertanyaan itu sebagai "soalan bodoh" yang "menjelikkan" dirinya.
Namun ketika ditemu bual Aftonbladet TV , Slash kelihatan kurang garang berbanding sebelum ini.
"Oh, saya tak boleh jawab soalan itu, kawan. Baiklah, mari lupakan isu itu sebab kamu tahulah, ia benda lama," katanya.
Rose - atau nama sebenarnya William Bruce Rose Jr - adalah penyayi utama Gun N' Roses.
Kehebatan suaranya menjadikan dia dianggap salah seorang penyanyi terhebat sepanjang zaman.
Rose, 53, berselisih faham dengan Slash, 50, yang menyerikan persembahan band mereka dengan petikan gitar mengagumkan ekoran isu dalaman kumpulan itu.
Slash meninggalkan Gun N' Roses secara rasmi pada Oktober 1996 sebelum diikuti anggota lain.
Ditanya dalam program televisyen itu, Slash berkata, dia perlu berhati-hati menjawab soalan ditanyakan.
"Tapi kalau semua orang mahukannya, dan ia (pertemuan semula Gun N' Roses) dibuat atas alasan yang betul, peminat tentu sukakannya. Saya fikir ia mungkin seronok untuk mencuba," katanya.
Ditanya apakah "alasan yang betul" itu, Slash berkata, ia sukar untuk dijelaskan.
"Ia benar-benar antara ahli kumpulan kami," katanya.

