Jelajah Wings sempena 3 dekad dalam seni
Wings meraikan perjalanan seni mereka sebagai kumpulan rock selama 30 tahun dengan melancarkan siri Kembara Jelajah Bermotor ke negeri pantai timur selama tiga hari bermula kelmarin.
Band yang terdiri daripada Awie sebagai vokalis, Joe (gitaris), Black (dram) dan Eddie (basis) juga akan mengadakan konsert 30 Tahun Wings di Stadium Merdeka pada 31 Oktober nanti.
Kembara Jelajah Bermotor dijadual berakhir hari ini.
Kenyataan kumpulan itu menyebut jelajah bermotor berkenaan dibuat bagi melantik ejen - terdiri daripada anggota kelab bermotor di Kelantan, Terengganu dan Pahang - bagi memudahkan penjualan tiket konsert berkenaan.
Istimewanya, Kembara Jelajah Bermotor itu menggabungkan penunggang yang menyertai pelbagai kelab motosikal seperti Ducati, Harley Davidson dan BMW.
Dedahkan Matic
Penunggang motor berkuasa tinggi yang berkonvoi dari Kuala Lumpur itu disambut riders tempatan di setiap negeri dan kemudian berkonvoi pula untuk ke destinasi seterusnya.
Upacara pelepasan dilakukan Pengarah Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Zain Azrai Rashid.
Sementara itu Zain menyambut baik program itu dan menganggap Wings secara tidak langsung memberi publisiti dan pendedahan mengenai Matic.
“Ia turut mempromosikan industri pelancongan dan kebudayaan serta Tahun Festival Malaysia (MyFEST) 2015 dalam siri jelajah mereka,” katanya.
Wings turut melancarkan Karnival Get Ready – Kempen Menghadapi Bencana Alam dengan hashtag #GETREADY.
Ia bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai dan menggalakkan persediaan awal menghadapi situasi terburuk dalam bencana alam.
Peminat sudah boleh melayari www.tickethotline.com.my hari ini atau melawat www.sayap2wings.com untuk maklumat lengkap mengenai pembelian tiket.

