Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pencipta Freddy Krueger meninggal dunia
Diterbitkan:  Sep 1, 2015 3:57 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Pembikin filem genre seram popular Nightmare on Elm Street dan Scream meninggal dunia selepas bertarung nyawa akibat kanser otak.

Wes Craven menghembuskan nafas terakhir Ahad lalu ketika berusia 76.

Karier Craven mencapai kegemilangan selama berdekad-dekad, bermula daripada kisah dendam yang dihasilkannya pada 1972, Last House on the Left.

Filem itu - juga The Hills Have Eyes pada 1977 - bagaimanapun diharamkan di banyak negara, termasuk United Kingdom

Namun, di sebalik kejayaan filem seram Craven, kadar keuntungan dicatatkan sebenarnya agak rendah sehinggalah tuah sebenar datang kepadanya 12 tahun kemudian melalui karakter antagonis Freddy Krueger dalam filem Nightmare on Elm Street.

Filem itu menjadi blokbuster di AS dan luar negara.

“Selama tiga tahun saya tidak berpeluang untuk menjual Nightmare on Elm Street . Ia membuatkan saya menjadi muflis.

“Apabila filem itu akhirnya berjaya dihasilkan dan meraih kejayaan, karier saya yang pada dasarnya berada di peringkat bawahan melonjak naik.

“Ia begitu mengujakan,” katanya kepada CNN sebelum ini.

Mengaku jadi penakut

Kejayaan Nightmare on Elm Street mencetuskan beberapa filem susulan, tetapi bukan diarahkan oleh Craven, hinggalah dia mengubahsuai genre itu menjadi Wes Craven's New Nightmare (1994).

Menurut Craven dalam wawancara dengan CNN pada 1999, gambaran hantu yang dicipta olehnya turut membuatkan dirinya menjadi penakut.

“Saat paling menakutkan adalah ketika saya menulis. Saya pernah melompat dari kerusi apabila seseorang memasuki bilik,” katanya.

Craven memberitahu, ilham menghasilkan Nightmare on Elm Street diperoleh sejak dia menetap di rumah yang terletak bersebelahan tanah perkuburan.

Lokasi itu adalah Jalan Elm di pinggir bandar Cleveland.

Scream adalah satu lagi karya Craven paling berjaya apabila beberapa filem susulan dihasilkan.

Kehidupan kanak-kanak Craven tidak seperti yang lain kerana dia dibesarkan dengan peraturan ketat dalam beragama. Salah satu 'pantang' Craven adalah menonton filem di rumah.

Sebelum terjun ke bidang filem, Craven pernah menjadi menjadi profesor.

Tak mahu berulang

Dia mempunyai ijazah dalam jurusan bahasa Inggeris dan psikologi dari Kolej Wheaton di Illonois.

Selepas memperoleh ijazah, dia melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana bagi jurusan falsafah dan penulisan.

Selain genre seram, Craven turut mengarahkan Music of the Heart (1999) yang menampilkan Meryl Streep sebagai pelakon utama.

Karya itu mengisahkan guru muzik yang gemar memberi semangat kepada sekumpulan kanak-kanak, ia berbeza dari filem seram yang biasa dihasilkannya.

Music of the Heart kemudian diberi pencalonan Oscar untuk Aktres Terbaik, manakala lagu temanya menjadi finalis bagi kategori lagu asal terbaik.

“Tiada artis yang mahu buat perkara sama berulang kali tanpa mencuba sesuatu yang baru,” katanya.

Lihat Komen
ADS