Lambakan filem dari luar dengan kemudahan mengakses YouTube menjadi satu tamparan dalam industri perfileman negara.

Justeru, kata Datuk Seri Azalina Othman Said, perlu ada penapisan dalam industri perfileman negara bagi mengelak sebarang kesan negatif daripada kemudahan semasa Internet.

“Kita mesti ada keseimbangan dalam filem kerana kita bukan negara barat.

“Cabaran paling besar adalah dunia media sosial.

“Golongan kini begitu mudah mempunyai akses untuk memuat turun bahan dengan teknologi sekarang,” katanya semasa ditemui di Majlis Pelancaran Expo Filem Negara semalam.

Ekspo yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) itu dijadikan sebagai platform kepada penggiat industri untuk berkongsi ilmu, kepakaran dan teknologi.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Azalina berkata, sewajarnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat memantau perkara tersebut kerana tidak mahu mentaliti masyarakat negara ini terjejas.

Beliau turut memberi contoh negatif yang menjejaskan minda generasi muda seperti pornografi, isu perkauman, kata-kata kesat dan penderaan yang banyak terdapat di YouTube.

“Dalam Youtube terdapat kandungan tidak ditapis. Saya harap SKMM dapat mengawal hal ini.

“Pornografi memang diharamkan, tetapi perkara seperti perkauman dan penderaan masih berlambak dalam sistem yang boleh diakses,” katanya.