Demi masa depan generasi kemudian, dunia mesti diselamatkan.

Ia disedari sekumpulan artis, termasuk Paul McCartney, Jon Bon Jovi dan Sheryl Crow.

Bersama artis lain mereka menghasilkan lagu Love Song to the Earth - ditujukan kepada mana-mana pihak yang bertindak mendesak negara dunia menandatantani perjanjian kawalan iklim tajaan PBB.

Lagu itu diedarkan melalui iTunes dan Apple Music mulai 4 September lalu sebelum diedarkan untuk pasaran umum hujung minggu ini.

Apple, artis, penerbit dan pengarah yang terbabit dalam penghasilan Love Song to the Earth bercadang mendermakan semua perolehan daripada lagu itu kepada pertubuhan alam sekitar Friends of the Earth US dan Yayasan PBB.

Toby Gad yang membantu mencipta lagu berkenaan - diterbitkan beberapa bulan sebelum persidangan iklim antarabangsa di Paris, Perancis pada Disember ini - berkata dia berharap lagu berkenaan akan menyedarkan orang ramai kepada isu perubahan suhu dunia.

"Apabila PBB meminta saya menghasilkan lagu mengenai perubahan iklim, saya berasa sangat terharu. Maka bersama rakan-rakan, kami menghasilkan Love Song to the Earth dengan memberi tumpuan kepada mesej positif mengenai betapa berharganya planet ini," katanya.

Selebriti lain yang menyumbang suara dalam lagu itu ialah Fergie, Colbie Caillat, Natasha Bedingfield, Leona Lewis, Sean Paul, Johnny Rzeznik, Krewella, Angelique Kidjo, Kelsea Ballerini, Nicole Scherzinger, Christina Grimmie, Victoria Justice dan Q’Orianka Kilcher.

Klip video Love Song to the Earth akan dilancarkan pada 11 September ini.