Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Anne akur bersyukur
Diterbitkan:  Sep 8, 2015 4:43 PM
Dikemaskini: 8:45 AM

Hakikat yang tidak dapat disangkal lagi oleh Anne Hathaway - perubahan usia turut menyebabkan persaingan semakin sengit di kalangan pelakon Hollywood.

Bintang The Devil Wears Prada itu berkata, ia sesuatu yang pahit untuk ditelan namun dia terpaksa menerima hakikat.

"Semakin kurang watak ditawarkan dan persaingan begitu mencabar," katanya.

Sebenarnya jika diikutkan Anne tidaklah terlalu tua. Dia baru berusia 32 tahun dan pernah membintangi pelbagai filem digemari ramai selepas meninggalkan kesan mendalam di hati peminat melalui The Princess Diaries pada 2001.

Pada 2014 pula misalnya, Anne muncul di layar perak dalam filem Christopher Nolan, Interstellar sebagai Dr Brand.

Anne juga pernah dicalonkan untuk aktres terbaik melalui lakonannya dalam Rachel Getting Married pada 2008.

Kata Anne, dia kagum dengan bakat dan kemampuan dipamerkan pelakon lain.

"Mereka sangat bagus dan kami bersaing untuk mendapatkan tempat dalam produksi filem," katanya.

Bergandingan dengan Robert De Niro untuk filem terbaru mereka, The Intern, Anne sebenarnya tidaklah merungut sangat.

Setakat ini dia sudah menjadi pelakon utama dalam kira-kira 20 filem untuk watak wanita yang dua kali ganda lebih tua daripadanya.

"Saya tak boleh mengadu kerana saya mendapat faedah daripada perubahan usia.

"Apabila saya berusia awal 20-an, sesetengah adegan dibuat untuk saya berusia 50-an. Kini saya awal 30-an terfikir juga - mengapa ada aktres berusia 24 tahun mendapat watak tertentu yang lebih tua.

"Saya tak boleh merungut kerana realitinya memang begitu. Saya perlu bersyukur," katanya.

Lihat Komen
ADS