Bekas Gabenor California dan juara bina badan dunia, Arnold Schwarzenegger akan diberi penghargaan Anugerah Golden Icon sempena Festival Filem Zurich yang berlangsung antara 24 September hingga 4 Oktober ini.

Kenyataan penganjur menjelaskan, Schwarzenegger juga akan menayangkan filem terbarunya Maggie , di Zurich.

Selain itu Schwarzenegger juga akan menghadiri sesi soal jawab dengan peminat serta wartawan bagi membincangkan isu kehidupan serta pengalamannya sebagai pelakon serta pentadbir.

Pengarah bersama Festival Filem Zurich, Karl Spoerri berkata Schwarzenegger adalah salah seorang legenda Hollywood paling diingati ramai.

"Beliau mengalami perubahan kerjaya yang unik dan menjadikan dirinya sebagai jenama global melebihi sekadar filem box office," katanya.

Baru saja menghiburkan peminat filem di seluruh dunia melalui Terminator: Genisys , Schwarzenegger membawa watak seorang bapa yang gigih menjaga anak perempuannya yang dijangkiti virus berbahaya dalam filem Maggie.

Virus itu menyebabkan seseorang yang dijangkiti bertukar menjadi zombie.

Zombie 'paling manusiawi'

Filem itu diarah Henry Hobson dan digambarkan Schwarzenegger sebagai "filem zombie paling sarat dengan nilai kemanusiaan" serta "watak paling manusiawi" pernah dilakonkannya.

"Cerita itu sangat peribadi. Ia memfokuskan kepada penyakit yang memusnahkan keseluruhan keluarga," katanya sebelum ini.

Schwarzenegger membawa watak Wade yang terperangkap dalam dilema sama ada menghantar anaknya - Maggie - ke tempat pengasingan untuk menjalani pemulihan yang jerih, atau membunuhnya bagi menamatkan penderitaan.

"Ia pilihan yang mustahil untuk seorang bapa. Wade tahu Maggie berbahaya dan Maggie pula tahu dia mungkin dibunuh bapanya.

"Namun disebabkan kasih sayang Maggie kepada Wade, dia mencuba apa saja yang termampu untuk menyelamatkan keadaan," katanya.

Selain menjadi gabenor, Schwarzenegger, 68, juga dikenang kerana skandal seksnya dengan pembantu rumah tangga ketika dia menjadi ketua kerajaan California.

Hubungan terlarang itu berlangsung bertahun-tahun tanpa pengetahuan isterinya, Maria Shriver, walaupun ia berlaku di bawah bumbung rumah mereka.

Lahir di Austria, Schwarzenegger dianggap tokoh bina badan paling penting dalam sejarah dan legasinya tetap dikenang lama selepas persaraannya.