Berjawatan menteri dan dikenali dengan keberanian walaupun wanita, namun Susi Pudjiastuti terpaksa menahan rasa untuk menyaksikan konsert Bon Jovi di Jakarta malam ini.

Semuanya kerana tiket habis dijual tanpa sempat dibeli Susi.

Ditemui media, Susi yang juga Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia berkata dia memang teringin menyaksikan secara langsung persembahan band rock 1980-an itu.

Kelalaian nampaknya menyebabkan Susi ( gambar ) terpaksa merelakan dirinya berputih mata.

Sebelum ini penganjur Live Nation Indonesia menyediakan 40,000 tiket untuk menyaksikan persembahan berkenaan dan dijual lebih awal.

Minuman wajib Bon Jovi

Tiada sebarang tiket dijual pada hari ini.

Konsert itu diadakan di Gelora Bung Karno di Jakarta.

Selepas Jakarta Bon Jovi akan meneruskan siri konsert jelajahnya di Bangkok, Thailand pada 15 September sebelum diikuti Kuala Lumpur (19 September), Singapura (20 September), Seoul (22 September), Macau (25-26 September) dan Taipei (28 September).

Seterusnya kumpulan muzik dianggotai Jon Bon Jovi, David Bryan dan Tico Torres akan mengadakan persembahan di Abu Dhabi pada 1 Oktober serta Tel Aviv pada 3 Oktober.

Sementara itu media melaporkan Bon Jovi mengemukakan permintaan khas kepada penganjur konsert malam ini.

Dilaporkan, band itu meminta disediakan 900 cawan kopi O serta 425 hidangan.

Sumber berkata, kopi adalah minuman wajib untuk kumpulan itu dan pada masa sama, mereka dikenali sebagai pemuzik yang bersikap antirokok serta alkohol.

Konsert Bon Jovi Live! malam ini adalah yang kedua diadakan di Indonesia selepas persembahan di Ancol pada 6 Mei 1995.