Whitney 'hidup kembali'
Selepas empat tahun meninggal dunia, Whitney Houston akan bangkit semula di depan peminatnya - walaupun hanya dalam bentuk hologram.
Menurut kenyataan waris penyanyi R&B itu, projek 'menghidupkan' semula Whitney dibuat pada siri jelajah dunia pada tahun depan.
Kata kenyataan itu, pelan berkenaan dirancanng Hologram USA tiga tahun selepas Whitney meninggal dunia.
Jurucakap penyanyi itu, Pat Houston berkata, melalui kaedah hologram berkenaan peminat berpeluang melihat "rekaan semula" salah seorang penyanyi wanita paling popular dalam sejarah.
"Ia juga akan meneruskan legasi persembahannya yang tidak akan dilupakan," katanya.
Whitney adalah penyanyi kelahiran AS yang turut mencipta nama sebagai pelakon, penerbit dan model.
Pada 2009 Guinness World Records mengiktirafnya sebagai selebriti wanita paling banyak mendapat anugerah dalam sejarah dan dianggarkan 200 juta albumnya terjual di seluruh dunia.
Pada 11 Februari 2012 Whitney ditemui dalam keadaan tidak sedar diri dalam tab mandi sebuah bilik di Hotel Beverly Hilton. Dia kemudian disahkan mati .
Whitney berusia 48 tahun ketika itu.
Penciptaan Whitney versi hologram itu akan dipamerkan "di sebuah lokasi terkenal" di AS dan turut disiarkan secara langsung melalui televisyen dan Internet melalui FilmOn Studios ke seluruh dunia.
FilmOn Studios adalah laman web dan aplikasi televisyen dibangunkan oleh Hologram USA.
Whitney bukanlah artis pertama yang dihidupkan dalam bentuk hologram.
Tahun lalu Raja Pop Michael Jackson muncul di atas pentas dalam majlis Anugerah Muzik Billboard bersama aksi gerak moonwalk yang sinonim dengan dirinya.

