Ekonomi kurang memberangsangkan tetapi tiket konsert Bon Jovi habis. Penganjur pula yakin negara itu adalah pasaran sangat menjanjikan untuk artis antarabangsa.

Di kalangan 250 juta warga Indonesia, minat dan kecenderungan mereka terhadap muzik adalah pelbagai serta unik.

Salah seorang penganjur konsert Adrie Subono berkata, peminat muzik di negara itu "rela melakukan apa saja" asalkan dapat menyaksikan artis pujaan mereka beraksi secara langsung.

Thank you Jakarta for the amazing sold out show! pic.twitter.com/MXmrjt6TQi

— Bon Jovi (@BonJovi) September 11, 2015

Pengasas Java Musikindo itu juga berkata kelembapan ekonomi tidak mempengaruhi ghairah masyarakat kepada konsert artis popular.

"Sebaik saja mengetahui artis pujaan akan datang mereka membuat persiapan apa yang patut. Misalnya, mengumpul dana untuk membeli tiket atau kos pengangkutan.

"Orang Indonesia memang hebat,” katanya.

Tetap perlu berhati-hati

Sempena konsert Bon Jovi di Gelora Bung Karno pada malam Sabtu lalu sebanyak 40,000 tiket dijual pada harga antara RM150 hingga RM1,050.

Akhir Ogos lalu Ariana Grande mengambil giliran mengadakan konsert di Jakarta dan dihadiri kira-kira 9,000 orang yang membayar tiket antara RM240 hingga hampir RM1,800 setiap satu.

"Mereka sanggup berhabisan kerana tidak tahu bilakah kesempatan melihat artis pujaan datang lagi," kata Adrie.

Thank you for a HUGE welcome back to Jakarta! -JBJ pic.twitter.com/BmeIcCArzO

— Bon Jovi (@BonJovi) September 12, 2015

Pengurus Hiburan dan Sukan Dyandra Promosindo, Cheri, pula berkata Indonesia kini adalah pasaran konsert yang sangat subur di Asia.

Bertanggungjawab membawa Ariana baru-baru ini, Cheri berkata, keadaan itu juga dipengaruhi perkembangan teknologi yang membolehkan rakyat Indonesia mengetahui lebih banyak maklumat mengenai selebriti antarabangsa.

Namun Cheri berkata, penganjur tetap perlu berhati-hati dan membuat penelitian sebelum menetapkan harga tiket.

"Sebelum ini banyak konsert yang gagal dan merugikan," katanya.