Penulis lirik Awan Nano Buddhi Hekayat mempunyai cara tersendiri meraikan sambutan Hari Malaysia.

Di sebalik sambutan rasmi atau program Himpunan Rakyat Bangkit di Padang Merbuk, dia memilih berbasikal demi mengumpul dana untuk membantu Sekolan Rendah Islam al-Anwar menyewa bangunan baru.

Menurut Buddhi - atau nama sebenarnya Hasmi Hashim - bangunan yang disasarkan ialah tinggalan sebuah kolej yang lengkap dengan bilik pembelajaran yang lebih baik berbanding apa yang sekolah itu miliki kini.

Menggelarkan projek itu sebagai Kayuhan Solo Wakaf, Buddhi akan berbasikal dari Sungai Pelek yang terletak di sempadan Negeri Sembilan - Selangor hingga ke sekolah itu yang terletak di Putra Height.

Kos lebih tinggi

"Perjalanan yang akan ditempuhi adalah beberapa pekan kecil, termasuk Tanjung Sepat dan Banting," katanya hari ini.

Buddhi berkata, untuk memasuki bangunan baru itu Sekolan Rendah Islam al-Anwar memerlukan dana kira-kira RM50,000 yang perlu dijelaskan sebelum 28 September ini.

Namun ia bukanlah kos sebenar kerana bangunan berkenaan masih perlu diubah suai dan ia juga memerlukan kos tambahan yang lebih tinggi.

Jika gagal dilunaskan, katanya, peluang pihak sekolah itu mendapatkan bangunan berkenaan akan terlepas.

Kata Buddhi, kayuhannya itu akan mengambil masa tiga hari dan kayukan dibuat pada setiap pagi dan petang antara 16 hingga 18 September.

"Saya dijangka sampai ke sekolah berkenaan pada petang Jumaat, 18 September," katanya.

Sepanjang kayuhan Buddhi - dengan kerjasama sekolah - akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa mengenai jumlah terkumpul yang diperoleh melalui Twitter dan Facebooknya.

Jika jumlah yang terkumpul itu melebihi sasaran, lebihan berkenaan akan disalurkan pula kepada ke Sekolah Tahfiz al-Bayan yang diselenggara Amy Search.

Sekolah itu terletak di Denai Alam, Shah Alam.