'Pizza sejuk' yang hangat dari Spooky Wet Dreams
Kumpulan punk alternatif yang mahu dikenali kerana membawa mesej murni antidadah, Spooky Wet Dreams (SWD), akan melancarkan secara rasmi album EP mereka esok, hampir seminggu selepas ia dikeluarkan.
Berjudul Cold Pizza Party, gitaris SWD, Nani berkata walaupun kedengaran "dingin" dan mungkin "tidak enak", mereka beranggapan sebaliknya.
Kata Nani, 18, setiap seorang mempunyai pendapat tersendiri untuk mentafsir sesuatu.
“Pizza sejuk mungkin tidak enak dimakan oleh orang lain, namun bagi SWD, ia masih sedap.
“Ini membawa maksud, ramai orang mempunyai persepsi sama terhadap sesuatu perkara, namun ia tidak semestinya boleh dianggap betul," katanya kepada Malaysiakini .
SWD sudah bertapak dalam industri muzik indie sejak 2013 dengan mempertaruhkan genre muzik punk, alternatif dan rock.
Gig dan pelancaran
Foo Fighters, Franz Ferdinand, Red Hot Chili Peppers, The Ramones dan Sex Pistols adalah antara band yang menjadi idola buat SWD.
Kumpulan berkenaan pernah membuat lebih 50 persembahan di seluruh negara, antaranya di Sounds of Nature, Projek Baju Raya dan Glorius Sessions 2.
Bangga kerana menganggotai Persatuan Belia Bebas Dadah, SWD mahu mengetengahkan idea dalam lagu kepada anak muda tanpa rasa takut.
Cold Pizza Party memuatkan lima lagu - Welcome to the Freakshow, Maggots, Withdrawals, Stepmother dan Sweaters & Rayguns.
Setakat ini, tiga single daripada Cold Pizza Party (Sweaters & Rayguns, Maggots dan Withdrawals) sudah dimuatnaik di YouTube dan dua daripada single itu mempunyai klip video sendiri.
Selain pelancaran EP, SWD akan turut mengadakan gig bersama band jemputan iaitu The Fridays, Jaggfuzzbeats, Love Thee dan Night Skies & Visions.
Menariknya, penonton boleh menyaksikan dua acara dalam satu - gig dan juga pelancaran EP kumpulan itu berserta makanan - tanpa dikenakan bayaran.
Acara yang akan diadakan pada 18 September bermula jam 6.30 petang di Talent Lounge, Pusat Perdagangan Petaling Jaya.

