Whitney, Bobbi sebenarnya dibunuh?
Hampir dua bulan selepas meninggal dunia, kematian anak perempuan Whitney Houston, Bobbi Kristina disyaki bukan atas sebab kemalangan, sebaliknya berunsur jenayah.
Andaian sama juga dibuat terhadap kematian Whitney.
Pihak yang membuat andaian itu pula adalah ibu saudara Bobbi sendiri, iaitu Leolah Brown.
Dalam temubual bersama Leolah, kakak ipar Whitney itu berkata dia tidak pernah percaya kematian berkenaan disebabkan kemalangan.
“Saya percaya seseorang membunuh anak saudara saya (Bobbi), sama seperti mereka membunuh ibunya (Whitney). Tetapi saya tidak pasti siapa membunuh Whitney,” katanya.
Leolah adalah kakak kepada Bobby Brown, iaitu bapa Bobbi.
Januari lalu, Bobbi ditemui dalam keadaan tertiarap dalam tab mandi di kediamannya di Roswell Georgia.
Bobbi menetap di rumah itu bersama kekasihnya Nick Gordon.
Dia akhirnya menghembus nafas terakhir di sebuah hsopital pada 26 Julai lalu, enam bulan selepas koma akibat mengalami kerosakan otak kekal.
Semasa hidupnya, gadis berusia 22 tahun itu memiliki suara yang hebat dan berbakat seperti Whitney dan bapanya yang juga penyanyi.
Tak pernah ditangkap, didakwa
Anak tunggal Whitney itu memulakan kariernya sebagai penyanyi selepas bergandingan dengan ibunya pada 1999 – menyanyikan lagu My Love is Your Love.
Kematian Bobbi mengingatkan orang ramai kepada kematian ibunya.
Whitney ditemui tidak sedarkan diri - juga dalam tab mandi - pada Febuari 2012 di Hotel Beverly Hills. Dia berusia 48 tahun ketika itu.
Dalam wawancara dengan Inside Edition itu, Leolah berpendapat Gordon harus dipertanggungjawabkan atas kematian Bobbi.
“Nick (Gordon) membunuh Bobbi. Apabila dia ditangkap, saya fikir segalanya akan didedahkan,” katanya.
Bagaimanapun, Gordon sebenarnya tidak pernah ditangkap apa lagi dituduh mempunyai kaitan dengan kematian Bobbi.
Gordon juga berkali-kali menafikan dia terbabit.
“Saya percaya Whitney mati dibunuh. Pada satu tahap kita harus bangun dan sedar insiden ini amat saling berkaitan antara satu sama lain dan ia begitu sama. Ibu dan anak mati di dalam tab mandi.
“Ada sesuatu yang tidak kena di sini,” kata Leolah.
Wanita itu mengesyaki insiden berkenaan ada hubung kait dengan harta peninggalan Whitney yang diberikan kepada anak tunggalnya itu.
“Saya percaya ada orang mahu Bobbi mati kerana mahu mendapatkan harta peninggalan Whitney,” katanya.

