Jelak dengan kerenah pengikut yang bersikap negatif, pengarah yang tidak asing lagi dalam industri perfileman Nam Ron menjalankan 'operasi membersih macai' daripada senarai kenalannya dalam Facebook.

Nam Ron diketahui melakukan 'pembersihan' itu melalui status yang dimuat naik semalam.

"Operasi Mencantas Macai di friend list sedang giat dijalankan. Harap Maklum. Sekian. Terima Kasih.

"P/s saya cuma tak mahu timeline saya dicemari dengan agenda politik perkauman," tulis Nam Ron yang turut dikenai sebagai pelakon dan penulis skrip itu.

Dalam pada itu, Nam Ron menegaskan pendiriannya berhubung isu perkauman – satu perkara yang sering dianggap tabu di kalangan rakyat negara ini.

Beliau yang memiliki nama sebenar Shahili Abdan berpendapat, isu perkauman tidak relevan untuk dipertikaikan lagi.

Pernah menghasilkan Gadoh , Nam Ron sudah mengangkat tema hubungan antara Melayu, Cina dan India dalam filem terbitan Pusat Komunikasi Hak Asasi Manusia (Komas) pada 2008.

“Filem ini mewakili pemikiran saya terhadap isu perkauman. Segalanya saya curahkan di dalamnya," kata Nam Ron.

Jangan jadi rakan maya lagi

Untuk makluman, filem itu tidak melepasi syarat tapisan pihak berkuasa untuk ditayangkan kepada umum namun masih boleh ditonton menerusi YouTube.

Beberapa jam sebelum memuat naik kenyataan itu, Nam Ron menyatakan, politik merosakkan nilai dan budaya Melayu yang sopan.

Bagi Nam Ron, memanggil seseorang dengan gelaran anjing dan babi bukanlah contoh bangsa Melayu yang kaya dengan budi pekerti mulia.

Hal itu tercetus selepas beberapa peserta Himpunan Rakyat Bersatu melontarkan perkataan “Cina Babi” pada 16 September lalu.

Sehubungan itu, Nam Ron turut ‘menasihatkan’ supaya pihak yang tidak bersefahaman dengan pendapatnya tidak lagi menjadi rakan beliau di Facebook.

“Jika ada yang tidak dapat menerima pemikiran saya, bolehlah ketepikan saya dalam senarai rakan anda supaya hidup kalian lebih aman tanpa gangguan,” katanya.

Tengah hari tadi pula Nam Ron berkongsi status ditulis Pyanhabib di akaun Facebooknya.

Nota 16 September 2015Bahagian kepala lutut.SEMASA di Masjid Jamek, gua terima mesej: Seorang kawan, berbangsa Melayu...

Posted by Pyanhabib Rahman on Thursday, September 17, 2015