Aktivis unik Rani Kulup, yang terkenal sering membuat laporan polis dan penampilan berseragamnya, menceburi satu lagi bidang baru dengan menjadi artis rakaman.

Malah siapa sangka beliau akan berduet dengan bintang popular Neves Pretty Ugly dan Radhi OAG ( gambar ) dengan single berjudul “Kipidap”, sempena slogan yang sering digunakannya.

Lagu itu digubah bersama oleh Neves dan Amad Karyawan dengan konsep Poppish yang senang didengar.

Ia menggabungkan instrumen gitar, bes, dram, papan nada, akordian dan ukulele oleh kumpulan iringan The Cekelat Cedap.

Sementara liriknya lebih bersifat motivasi dan mengajak masyarakat bergerak untuk maju.

Tambah menarik CD single ini akan dijual dalam bentuk pakej bersama komik, juga bertajuk “Kipidap”, yang mana Rani Kulup diangkat sebagai hero.

Hero komik cinta keamanan

Komik Kipidap dilakar oleh kartunis yang sering melukis karya kritis, Ronasina.

Ia akan menggambarkan Rani sebagai seorang yang cintakan keamanan dan sering membantu mereka yang kesusahan.

"Slogan kipidap diterima oleh semua penyokong politik tidak kira yang mana dan Rani Kulup adalah ikon.

“Projek ini suatu eskapisme untuk kita bertenang setelah serabut dengan kerenah politik," ujar Amad ( gambar ) yang juga pengurus produksi untuk single itu.

Difahamkan lagu itu berazam membawa mesej melangkaui fahaman politik sempit berpuak memandangkan dunia seni sudah lama meraikan semangat muhibah dalam negara kita.

Amad menamakan projek yang dijangka siap sebelum Disember ini sebagai "Projek RNR".

#HIBURAN Komik Kipidap dilakar oleh kartunis yang sering melukis karya kritis, Ronasina. Ia akan menggambarkan Rani sebagai seorang yang cintakan keamanan dan sering membantu mereka yang kesusahan.Baca selanjutnya: https://www.malaysiakini.com/hiburan/313022

Posted by Malaysiakini (BM Version) on Tuesday, 22 September 2015