SENIMAN kemuka cadangan baiki Akta Finas
Persatuan penggiat seni tanahair mengemukakan cadangan untuk menambah baik Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 1981 walaupun sedar ia memakan masa panjang.
Cadangan penambaikan itu diangkat oleh Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Pekerja Profesional Malaysia (Profima).
Menurut Presiden Seniman Zed Zaidi, tujuan cadangan itu diutarakan adalah untuk membela kebajikan penggiat seni tempatan kerana Akta Finas 1981 dianggap sudah tidak relevan untuk diaplikasikan lagi.
“Kami kemukakan cadangan kerana nak gubal akta baru akan melalui proses lama. Jadi persatuan seni cadangkan kepada Finas untuk pinda akta itu sementara menunggu akta baru keluar,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Ada tiga perkara yang diangkat Seniman dan satu oleh Profima dalam perbincangan diadakan bersama Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Othman baru-baru ini, iaitu:
- Tempoh bekerja yang khusus
- Perlindungan insurans
- Caruman Kumpulan Simpanan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
- Pelaksanaan gaji minimum
Bagi Zed, golongan artis wajar diberikan tempoh jam bekerja yang bersesuaian agar dapat kualiti kerja memuaskan dapat diberi.
Ia juga, katanya, boleh mengekang masalah sosial di kalangan penggiat seni.
“Kita tidak mahu melihat artis muncul di kaca televisyen dalam keadaan lesu, tidak bermaya kerana hasil kerja itu tidak akan bagus.
“Sekiranya kita tidak mengehadkan waktu bekerja mereka, sudah pasti gejala tidak sihat seperti pengambilan dadah dan kemalangan akibat keletihan dapat dielakkan,” katanya.
Isu artis tak terbela perlu diatasi
Zed berkata, isu insurans dibangkitkan kerana ia dipersetujui oleh menteri sebelum ini, Tan Sri Dr Rais Yatim, yang meluluskan cadangan Seniman untuk pelaksanaan skim insurans bernilai RM1.1 juta.
Katanya, walaupun dipersetujui pelaksanaannya perlu diletakkan dalam akta sebagai jaminan untuk anak seni.
"Malang tidak berbau. Justeru insurans diperlukan sebagai persediaan menanggung perbelanjaan di masa yang kecemasan," katanya.
Begitu juga halnya dengan caruman KWSP yang mesti diwajibkan terhadap artis dan syarikat yang menggunakan khidmat mereka.
"Kalau boleh kami mahu kontrak standard disediakan Finas untuk mewajibkan caruman KWSP, perlindungan insurans, pelaksanaan gaji minimum dan tempoh bekerja yang tertentu," katanya.
Menurut Zed, pelbagai kisah artis veteran yang kurang terbela, hidup susah dan seumapanya - ia perlukan jalan penyelesaian.
“Ini bukan perkara baru namun tidak dapat dilaksanakan akibat halangan akta sedia ada. Akta Finas 1981 sudah tidak relevan diguna pakai sekarang.
“Drama dan filem semakin maju dan menjadi sumber pendapatan kepada orang industri. Sekarang sudah ada Internet, animasi dan YouTube.
“Jadi memang sesuai kita pinda Akta Finas mengikut zaman sekarang,” katanya.

