Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tayangan amal Polis Evo kenang Harun Salim Bachik
Diterbitkan:  Sep 23, 2015 11:37 AM
Dikemaskini: 3:40 AM

Selepas selesai melunaskan tanggungjawab sosial melalui konsert amal membantu Yazid Search, Pemuda Parti Amanah Nasional (AMANAH) mengadakan satu lagi projek kebajikan untuk membantu artis.

Kini mereka mengadakan tayangan amal filem Polis Evo yang diselia khusus untuk membantu keluarga Allahyarham Harun Salim Bachik.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata selain membantu waris Harun, program santai itu turut diadakan untuk menjadi pentas kepada mereka berkongsi karya terakhir artis serba boleh itu dengan anak muda yang 'kaki panggung'.

Artis yang memiliki nama sebenar Haron Aminar Rashid Salim mula dikenali ramai melalui drama bersiri Rumah Kedai yang disiarkan selama beberapa musim sepanjang Ramadan pada awal 1990-an.

Pada 2001 Harun memenangi Anugerah Skrin 2001 dalam kategori pelakon lelaki terbaik melalui drama Hangatnya Salju Dinginnya Bara.

Selain berlakon beliau juga berbakat dalam bidang nyanyian dan pernah menghasilkan album pada 1996.

Menjayakan banyak filem, penampilannya dalam Baik Punya Cilok membolehkan Harun dicalonkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia.

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN).

Shazni berkata, Polis Evo adalah lakonan terakhir Harun sebelum meninggal dunia akibat sakit jantung ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang pada 8 Mac lalu.

Tayangan amal itu akan diadakan pada 4 Oktober ini di TGV AEON Bukit Raja, Kelang pada jam 9 malam.

"Rakan media, peminat Harun serta anak muda dijemput bersama-sama dalam tayangan amal tersebut," katanya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi pengarah program, Muriza Hazrul 014 - 605 8697.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS