Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Selepas terbabit dalam dunia lukisan selama 45 tahun, Zainal Buang Hussein benar-benar bersyukur apabila lakarannya diambil untuk dijadikan penghias setem oleh Pos Malaysia Bhd sempena sambutan Hari Kebangsaan baru- baru ini.

Nama Zainal memang tidak asing lagi dalam dunia ilustrasi dan kartun di Malaysia.

Karyanya pernah memenangi anugerah Lukisan Terbaik Asean pada 1985.

Kini berusia 61 tahun, karyanya diiktiraf pula sebagai antara imej mencatikkan setem negara.

“Setelah berusia 61 tahun, 45 tahun jadi pelukis, akhirnya karyaku diangkat jadi penghias setem Malaysia. Rasa sayu, teruja dan gembira pun ada. Alhamdulillah tidak terkira,” kata Zainal dalam Facebooknya.

Dihubungi Malaysiakini , Zainal berkata, penerimaan gambar lukisannya itu untuk dijadikan bahan setem adalah rezeki yang dihargai.

Namun beliau secara baik menolak untuk mendedahkan jumlah bayaran yang diterimanya daripada Pos Malaysia.

“Itu rahsia (sambil tergelak), bolehlah makan seminggu,” katanya.

Pelancaran setem khas itu dibuat sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu di Sabah.

Lambang perpaduan, setiakawan

Bagaimanapun atas sebab tertentu, Zainal tidak dapat menghadiri majlis pelancaran berkenaan.

Keluaran setem khas itu mengangkat tema Hari Kebangsaan kali ini iaitu Sehati Sejiwa.

Lukisan Zainal dibuat dalam bentuk lembaran set mini ( miniature set ) memaparkan watak pelbagai kaum di Malaysia sedang mengibarkan Jalur Gemilang dan digandingkan dengan lukisan Razali Lesut.

Setem karikatur hitam putih itu berukuran 100mm x 70mm dan lebih panjang daripada yang biasa. Ia dijual pada harga RM3.

Watak kartun yang dipamerkan dalam setem Malaysia #sehatisejiwa itu melambangkan perpaduan, persefahaman dan semangat setiakawan membangungkan Malaysia.

Manakala setem memaparkan lukisan Razali pula dijual pada harga 60 sen dan 70 sen setiap satu.

Rekabentuk setem dihasilkan oleh Hazel Design Sdn Bhd, sebuah syarikat yang sudah berkecimpung dalam industri itu sejak lebih daripada 15 tahun lalu.

'Gila' kepada lain

Menurut Pengarah Urusan Hazel Design, Md Jun Idris, semua konsep lukisan dirangka oleh pihaknya dan dari situ mereka memilih Zainal dan Razali.

Selain Pos Malaysia setem Malaysia #sehatisejiwa itu turut mendapat kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Sementara itu ditanya sama ada masih aktif melukis kartun, Zainal yang pernah menjadi orang kuat majalah Gila Gila berkata, dia kini "gila melukis abstrak".

"Saya sudah tidak larat buat komik lagi, penat. Bagilah orang muda. Sekarang saya gila lukis abstrak (sebab) ia lebih mencabar dan hendak menjualnya juga lebih sukar," katanya sambil ketawa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS