Lelaki Harapan Dunia terpilih diserahkan secara rasmi untuk dipertimbangkan bagi kategori filem asing terbaik dalam Anugerah Academy ke-88 tahun depan.

Filem yang memenangi lima anugerah dalam Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27 awal bulan ini dipilih oleh Jawatankuasa Pemilihan Oscar Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang ditubuhkan baru-baru ini.

Badan itu ditubuhkan untuk memilih filem tempatan terbaik untuk diserahkan kepada Oscar mulai tahun depan.

Dalam FFM ke-27, Lelaki Harapan Dunia antaranya memenangi anugerah filem terbaik, pengarah terbaik dan cerita asal terbaik.

Menurut laporan Kr8tifexpress , Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman berkata, beliau berjanji memberi tumpuan kepada kualiti dan bukan kuantiti sesebuah filem bagi meletakkan industri perfileman Malaysia di mata dunia.

Beliau berkata, memenangi anugerah Oscar berkenaan bukan keutamaan tetapi apa yang lebih penting ialah membawa mesej wujudnya perfileman Malaysia yang bersedia membawa kisah Malaysia ke peringkat global.

Filem komedi itu juga mendapat tempat untuk tayangan perdana pada Festival Filem Antarabangsa Locarno ke-67.

Ia juga mengambil bahagian dalam pelbagai festival filem antarabangsa termasuk Festival Filem Antarabangsa Toronto pada 2014, Festival Filem Antabangsa Busan dan Festival Filem Antarabangsa Golden Horse Taipei.

Filem arahan Liew Seng Tat itu juga memenangi hadiah khas juri dalam Festival Filem Antarabangsa Fajr Tehran di Iran tahun ini.

Penerbit filem itu, Sharon Gan berkata, mereka bersyukur dan berterima kasih kepada Finas dan Jawatankuasa Oscar kerana mencalonkan filem tersebut.

"Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada Finas dan jawatankuasa Oscar untuk penghormatan yang besar ini. Kami rasa rendah diri tetapi pada masa sama sangat berbangga mempunyai Lelaki Harapan Dunia yang mewakili Malaysia," katanya.

Filem Lelaki Harapan Dunia menjadi filem ketiga Malaysia selepas filem pertama Puteri Gunung Ledang yang dicalonkan bagi Anugerah Academy ke-78 pada 2005. Sementara filem Bunohan pula menjadi filem kedua Malaysia yang diserah pada 2013.

Pengumuman bagi lima filem bahasa asing yang akan dicalonkan untuk Anugerah Academy ke-88 akan dibuat pada 14 Januari 2016.