"Semoga mereka nanti apabila bangun tidur, sudah berada di syurga," kata penyanyi Datuk Rossa mengulas tragedi rempuhan di Mina yang menyebabkan hampir 800 jemaah haji meninggal dunia Khamis lalu.
Ditemui media di Jakarta, Rossa yang popular dengan lagu Ayat-ayat Cinta itu berkata dia turut berdukacita dengan kemalangan berlaku berhampiran tempat melontar di Mina itu.
"Semoga mereka mendapat tempat terbaik di sisi Allah dan ibadah mereka diterima," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi (waktu tempatan) itu, kejadian tolak-menolak jemaah haji yang berada berhampiran tempat yang sentiasa penuh sesak itu menyebabkan sebahagian mereka terjatuh sebelum terpijak.
Kawasan tersebut merupakan salah satu daripada dua laluan utama melalui tapak perkhemahan jemaah ke jamrah.
Agensi berita Reuters melaporkan kejadian itu merupakan paling buruk berlaku ke atas jemaah dalam tempoh 25 tahun.
Angka rasmi kematian dikeluarkan Riyadh ialah seramai 769 orang.
Fizikal boleh menyukarkan
Rossa berpendapat, Mina memang tempat jemaah haji dari seluruh dunia bertumpu.
Ditambah dengan keadaan fizikal sesetengah bangsa Arab yang besar serta tinggi, Rossa dapat membayangkan betapa sukarnya mengatur perjalanan jemaah haji.
Dalam keadaan begitu pun Rossa berpendapat, semua pihak perlu bersangka baik.
"Setiap musibah pastilah Allah lebih mengerti," katanya.
Beliau juga berpendapat sebahagian jemaah haji memang berharap meninggal dunia di tanah suci.
"Rasanya siapa pun yang pergi ke tanah suci mungkin berharap mereka meninggal di situ. Makanya orang yang akan berangkat ke tanah suci biasanya bermaaf-maafan, melunaskan hutang dulu dan sebagainya.
"Pergi ke tanah suci itu memang harus ikhlas dan menyakini apa pun yang terjadi pastilah yang terbaik," katanya.
