Musim baru siri The Blacklist yang akan bermula beberapa hari lagi akan disambung pada detik terakhir musim lepas berakhir, dengan Raymond "Red" Reddington (James Spader) dan Elizabeth "Liz" Keen (Megan Boone) melarikan diri daripada pihak berkuasa,

Dalam episod pertama musim ketiga ini, Red terpaksa berhubung dengan kenalannya di kalangan penjenayah untuk membolehkan dia dan Liz keluar kepungan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Menurut laporan Entertainment Weekly , penerbit eksekutif siri itu, Jon Bokenkamp menggambarkan musim ketiga ini sebagai "adunan unsur terdesak dan peningkatan suspens" berbanding musim kedua.

Kali ini pertubuhan antarabangsa The Cabal menjadi lebih terdesak dalam aktiviti mereka.

Keadaan itu, kata Bokenkamp, mendorong ahli pertubuhan sulit berkenaan menjadi lebih berbahaya dan menggunakan khidmat pembunuh yang lebih berbahaya.

Banyak yang menarik

Bokenkamp juga menunjukkan rasa terujanya dengan kemunculan watak baru, Mr Solomon (lakonan Edi Gathegi) yang dianggapnya berjaya membawa watak berkenaan dengan baik.

"Mr Solomon adalah watak kejam yang menyelesaikan masalah dihadapi The Cabal," katanya.

Seorang lagi penerbit eksekutif The Blacklist , John Eisendrath pula mendedahkan, sebahagian daripada musim kali ini digunakan untuk menceritakan bagaimana Red dan Liz diburu - serta cara mereka melepaskan diri.

Namun yang lebih menarik ialah, Eisendrath menjanjikan lebih banyak jawapan kepada penonton berhubung pelbagai 'misteri' menyelubungi dua watak utama siri berkenaan.

Pengkritik televisyen majalah Forbes , Merrill Barr awal-awal lagi memuji musim ketiga ini.

"Ada banyak yang menarik pada permulaan musim ketiga The Blacklist . Ia menyeronokkan, tetapi paling penting ia dipenuhi kesungguhan," katanya.