Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
CSI hiburkan penonton, susahkan pihak berkuasa
Diterbitkan:  Sep 29, 2015 4:40 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Seorang suspek ditangkap tidak jauh dari lokasi jenayah bersama sepucuk pistol dalam begnya.

Beberapa saksi sudah dikenal pasti dan mengesahkan suspek cuba membunuh seorang lelaki di Brooklyn.

Semuanya sudah cukup baik untuk pendakwa di mahkamah - sehinggalah kes berkenaan dibentangkan kepada juri.

Seorang bekas penolong pendakwa raya menceritakan, suspek sudah dikemukakan dengan hujah yang kuat tetapi juri kemudian bertanya: "Mengapa anda tidak membuat ujian DNA?"

Kata bekas pendakwa itu, ujian DNA memerlukan masa yang panjang, mahal dan jarang dilakukan ketika itu.

"Ia juga tidak dilakukan dalam kes yang semudah itu," katanya.

Namun tanpa ujian DNA suspek dibebaskan daripada tuduhan cuba membunuh. Lebih buruk, dia juga dibenarkan terus memiliki senjata api.

Katanya, kes itu bukan mempertikaikan siapa yang melakukan cubaan membunuh kerana suspek ditahan bersama pistol yang digunakan dalam insiden berkenaan.

Beberapa saksi juga sudah mengenal pasti suspek di mahkamah.

"Semua orang mahu ujian DNA dilakukan pada semua benda. Mereka menghadapkan kami memiliki makmal super yang membolehkan semua ujian dilakukan," katanya.

Tubuh manusia sumber terbaik

Itu antara kesan dibawa siri siasatan televisyen, CSI: Crime Scene Investigation yang mula ditayangkan pada tahun 2000.

Ia berlanjutan sehingga 15 musim, selain dikembangkan kepada beberapa siri lain, iaitu CSI: Miami, CSI: NY dan CSI: Cyber.

Semua siri itu sudah berakhir kecuali CSI: Cyber.

CSI: Crime Scene Investigation mencetuskan fenomena di seluruh dunia dan ditonton lebih 26 juta orang setiap minggu.

Siri itu ditamatkan di Malaysia melalui tayangan selama dua jam malam tadi.

Siri berkenaan dicetuskan oleh Anthony E Zuiker yang mendapat idea daripada siri sains forensik ditayangkan di Discovery Channel.

Dalam siri itu, Zuiker menonton bagaimana seorang penari sorak Los Angeles Raiders, Linda Sobek, yang dibunuh seorang jurugambar

"Apabila penyiasat menarik keluar sehelai rambut perang dari kerusi penumpang sebuah kereta, mereka mengesyaki berlaku pergelutan sebelum pembunuhan berlaku.

"Pada ketika itu saya faham tubuh manusia adalah sumber terbaik untuk menyelesaikan jenayah," katanya.

Bercakap kepada AP sebelum ini, Zuiker berkata melalui siri CSI dia mahu menjadikan bidang sains sebagai sesuatu yang "hebat dan menyeronokkan" untuk warga AS.

Cuma pada teori

Masalahnya, CSI menjadikan sains itu "terlalu hebat" sehingga ia menyusahkan polis dan pihak pendakwa sendiri.

Misalnya, dalam siri itu kemampuan sains dipaparkan secara canggih keterlaluan dan belum dicipta pun di dunia realiti.

Dalam keadaan tertentu siasatan dibuat oleh pelakon CSI sebenarnya tidak realistik. Sebagai contoh, bagaimana begitu banyak sumber boleh diperuntukkan bagi menyiasat sesusatu kes.

Bekas Penolong Pendakwa Raya Manhattan, Jordan Arnold berkata, juri tahu ada banyak ujian boleh dilakukan secara teori tetapi mereka tidak tahu masa yang sesuai menjalankan ujian berkenaan.

"Juri mahukan bukti mengatasi keraguan munasabah, tetapi dengan pengaruh CSI , mereka menuntut bukti yang mengatasi segala keraguan," katanya yang kini menguruskan firma penyiasat persendirian di New York.

Peguam Norman Steiner pula melihat CSI mengubah suasana perbicaraan di mahkamah jenayah.

Pada 1990-an, kata Steiner, dalam perbicaraan kes dadah peguam bela akan bertanya mengapa penyiasat tidak mengesan cap jari pada bekas berisi bahan larangan itu.

Namun, katanya, soalan begitu tidak akan dilayan dengan baik oleh hakim, malah peguam bela mungkin diherdik kerana mencadangkan prosedur sebegitu untuk mensabitkan seseorang suspek.

"Satu-satunya masa penyiasat mengesan cap jari adalah ketika meneliti jenayah pecah rumah atau kes bunuh," katanya.

Kini, kata Steiner, separuh daripada pendakwa terpaksa meyakinkan juri bahawa pihak berkuasa tidak memiliki peralatan secanggih apa yang dimiliki penyiasat CSI .

"Mereka juga perlu meyakinkan juri, kes yang dikendalikan itu bukan seperti apa yang mereka saksikan di televisyen," katanya.

Belum dicipta pun

Pendakwa khas narkotik New York City, Bridget Brennan pula berkata, kadang-kadang juri menolak logik kerana terpengaruh dengan bukti diperoleh melalui teknologi.

"Sesetengah juri mahukan kepastian dan ia memang bagus. Cuma mereka perlu tahu keupayaan pihak berkuasa ada hadnya.

"Kami tidak memiliki pangkalan data mengenai semua orang di New York City, kereta yang mereka pandu serta semua salinan cap jari.

"Jika ada pun data itu tidak akan dipersetujui banyak pertubuhan hak asasi manusia," katanya.

Peguam Robert Tolchin berkata televisyen selalu memberi kesan kepada sistem perundangan.

"Suatu ketika dulu penggulungan berlangsung selama kira-kira sejam. Kemudian datang siri LA Law dan ia popular. Sejak itu penggulungan berlangsung jauh lebih pendek," katanya.

Namun kata Tolchin, CSI membawa kesan lebih besar apabila populariti siri itu mendorong semua orang percaya bahawa DNA wujud di mana-mana.

"Orang percaya CSI ada cara mudah dan boleh dilakukan saban minggu," kata peguam Barry Scheck.

Namun, katanya, kebanyakan fakta yang dipaparkan dalam CSI hanyalah khayalan.

"Sesetengah teknologi dalam CSI belum dicipta pun," katanya.

Lihat Komen
ADS