Gitaris death metal temui air di Marikh
Jika dibiarkan dia membuat keputusan sendiri untuk masa depannya, kita mungkin mengenali Lujendra "Luju" Ojha hari ini sebagai pemain gitar kumpulan death metal .
Seorang wartawan yang menghubungi telefon genggamnya kecewa apabila panggilan itu berakhir dengan pesanan suara bahawa Ojha akan menghubungi pemanggil semula - atau "mungkin tidak".
Namun semalam Ojha menjadi 'bintang' dalam kategori tersendiri dan dia berhak berbangga dikerumuni media.
Ojha adalah saintis yang bertanggungjawab mengesan cairan garam di permukaan Marikh.
Dihubungi wartawan sains teknologi laman sesawang cnet.com , Eric Mack, Ojha pantas menafikan dia menganggap dirinya sebagai pakar astrobiologi atau saintis sistem planet.
Ia bukan kerana usianya baru 25 tahun dan sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah, tetapi dia tetap berasakan dirinya sekadar orang biasa dalam bidang sains.
Sebahagian masanya digunakan untuk mengkaji fenomena gempa bumi.
Cerita dulu-dulu
Mengenai penemuan sangat penting di planet yang dianggap memiliki sifat paling hampir dengan Bumi itu, Ojha menjelaskan bagaimana dia menggunakan teknik baru bagi menganalisis gambar dirakam di Marikh.
Melalui imej diambil satelit Mars Reconnaissance Orbiter (MRO) Ojha mengesan bukti ada cairan air bercampur dengan garam di planet berkenaan.
Sejurus kemudian perhatian Mack terus teralih kepada gambar di laman sesawang peribadi Ojha yang memaparkan imejnya berambut panjang, memetik gitar bersama mikrofon di depan mulutnya.
Memang dia sedang memainkan muzik bersama kumpulan death metalnya.
"Itu cerita lama," katanya sambil ketawa,
Menurut Ojha, melalui muzik dia tidak boleh hidup dengan selesa kerana pulangan kewangan tidak seperti diharapkan.
Keadaan itu mendorongnya mencuba bidang sains.
"Malangnya sains juga tidak menjanjikan kemewahan juga," katanya.
Meet Lujendra 'Luju' Ojha who found water on Mars! http://t.co/iCDjFL9tol
— Rohit Neopane (@neorohit) September 29, 2015
Ojha bukanlah kelahiran AS. Bersama keluarganya dia berpindah ke Tucson di Arizona dari Nepal.
Di TucsonOjha mula terlibat dengan profesor bidang geologi planet di Universiti Arizona, Alfred McEwen, yang mengendalikan kamera beresolusi tinggi MRO.
Kata Ojha, penemuan garis aliran air garam di Marikh itu bagaikan tesis sarjana mudanya di universiti berkenaan.
Pada 2011 McEwen dan Ojha memperkatakan kemungkinan wujud air di Marikh dan memperkenalkan kaedah baru untuk membuktikannya.
Ojha kemudian menyambung pengajian di Georgia Tech.
'Terlupa' berseronok
Isnin lalu dia dan McEwan bersama Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) AS berkongsi maklumat dengan media mengenai data diperoleh daripada garisan dirakam di atas Marikh.
Mereka mengesahkan garisan itu basah dan bergaram seperti dijangkakan.
Ojha bukanlah petugas sepenuh masa di NASA. Pada waktu lain dia mengkaji keadaan gempa bumi di Himalaya yang terletak di negara asalnya.
"Saya tak tidur sebab asyik membuat sesuatu yang mungkin tidak patut saya lakukan.
"Sebenarnya patut menikmati hidup sebagai orang muda tetapi nampaknya saya tak buat begitu," katanya.
Justeru wartawan mencadangkan supaya Ojha perlu berseronok ketika mengikuti kursus tajaan Yayasan Sains Kebangsaan di Perancis.
"Ya, memang seronok, tapi saya bukan dalam percutian. Saya di sini untuk melakukan ujian, kan? Tapi mungkin saya akan mencuba juga untuk berseronok," katanya.

