Impian untuk menakluk Everest boleh diibaratkan sebagai perjalanan sehala dan menempah maut, terutama jika seseorang mendahulukan impian daripada nyawa.

Dari awal cerita, penonton sudah boleh membayangkan bahaya dan bahana yang bakal menimpa sekumpulan pendaki apabila mereka membuat perjalanan luar daripada kebiasaan untuk menakluk Everest.

Untuk makluman, filem Everest adalah adaptasi daripada kisah benar yang terjadi pada 1996.

Perjalanan luar daripada kebiasaan dalam Everest merujuk kepada usaha dua kumpulan pendaki masing-masing diketuai Rob Hall (Jason Clarke) dan Scott Fischer (Jake Gyllenhaal).

Biasanya bersaing antara satu sama lain, Hall dan Fischer memilih bekerjasama antara satu sama lain dalam usaha meminimumkan tempoh perjalanan untuk sampai ke puncak.

Dari situ, pengarah Baltasar Kormakur cuba menunjukkan bagaimana sebuah kawasan pergunungan gah dan bagai zon kematian, berubah menjadi lubuk mencari keuntungan dengan kemunculan pelbagai syarikat mengambil upah membawa pendaki ke puncak Everest.

Salah sebuah syarikat itu ialah Adventure Consultants yang dimiliki Hall sendiri.

Terlalu ramai pendaki

Mengikut faktor geografinya, Everest terletak di Pergunungan Himalaya dengan ketinggian 8,848 meter dari permukaan laut.

Ketinggian itu menjadikan Everest yang berada di wilayah perbatasan Nepal - Tibet termasuk sebagai satu daripada puncak yang harus ditakluki pendaki.

Walaupun tidak ketara, tarikan wang kepada syarikat bimbingan pendaki yang banyak pada 1990-an adalah antara faktor penting cuba dipaparkan dalam kisah ini.

Sebagai syarikat berorientasikan keuntungan, mereka hanya mementingkan kehendak pelanggan – terdiri daripada pendaki yang mahu mencipta rekod peribadi.

Akibatnya, ada terlalu ramai pendaki pada satu masa di laluan penuh bahaya ke puncak Everest.

Tanpa menjangkakan musibahnya, Hall dan Fischer membuat keputusan berpakat membawa anggota rombongan masing-masing menjejakkan kaki ke puncak.

Melalui persefahaman itu mereka sepatutnya menjimatkan tenaga, masa dan tangki oksigen.

Filem ditulis William Nicholson dan Simon Beaufoy ini dibuat berdasarkan tragedi ekspedisi 1996 yang mengakibatkan lapan orang terbunuh.

Everest meceritakan bagaimana sekumpulan pendaki mengharungi detik-detik cemas untuk naik - dan turun - sambil berdepan cabaran sengit alam semulajadi.

Bagaimanapun, sebenarnya di sebalik kisah lima mangsa terbunuh dalam tragedi Mei 1996 itu, tiga kematian lain membabitkan pendaki India berlaku pada 10 November tahun sama.

Kesan mengujakan

Menyertai Hall dalam kembara terakhirnya itu adalah wartawan dan penulis buku Into Thin Air, Jon Krakauer, serta Beck Weathers yang menulis buku Left for Dead: My Journey Home From Everest.

Everest sarat dengan pengajaran, terutama buat pendaki yang tidak berpengalaman tetapi mempunyai wang dan memasang impian tegar menakluk raja segala gunung.

Pun begitu, dari segi karakter, ia tidak banyak dikembangkan. Kemunculan satu-satu watak ditonjolkan hanya sebentar dan penonton mungkin tidak puas untuk meneliti watak berkenaan. Malah dalam babak tertentu watak yang ditonjolkan terlalu ramai pada satu masa.

Ditambah pula semuanya memakai penutup muka, agak sukar untuk mengecam siapa yang difokus kamera sehinggalah nama watak itu disebut watak lain.

Penataan kesan efek 3D begitu mengujakan. Tidak nampak kekurangan dan mana silapnya. Ia membuatkan penonton seakan benar-benar turut berada di Everest.

Segala cengkaman cuaca dingin salji di tanah tinggi seolah dapat dirasai sendiri ketika pengarah fotogorafi Salvatore Totino menonjolkan keindahan Everest sehingga mengundang keinginan penonton untuk turut menikmati keadaan di sana.

Nilai kekeluargaan turut mewarnakan Everest selain berjaya memainkan emosi penonton.

Pada masa sama setiap pendaki dibayangi sikap pentingkan diri dan terserlah terutama di saat berdepan dengan maut.

Dalam situasi begitu memang boleh dinilai siapakah yang layak digelar sahabat atau sebaliknya.

Selain nama di atas, antara barisan pelakon yang turut menjayakan Everest adalah Keira Knightley (Jan Arnold), Martin Henderson (Andy Harold Harris), John Hawkes (Doug Hansen) Naoko Mori (Yasuko Namba), Emily Watson (Helen Wilton) dan Sam Worthington (Guy Cotter).