Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ridley Scott 'temui air' di Marikh sebelum NASA
Diterbitkan:  Sep 30, 2015 6:00 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Dua bulan sebelum The Martian ditayangkan, pengarahnya Ridley Scott ditunjukkan gambar kesan aliran air di permukaan Marikh, namun ia sudah terlalu lambat untuk dimasukkan ke filem berkenaan.

"Saya tahu mengenai kewujudan air di Marikh beberapa bulan lalu," kata Scott kepada media.

Difahamkan Scott dan penulis skrip filem berkenaan Drew Goddard berunding dengan agensi Pentadbiran Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) untuk menjadikan produksi itu sebaik mungkin.

Kata Scott, dia sudah meneliti kemungkinan wujud air di Marikh awal sebelum NASA mengesahkan bahan itu memang ada di planet berkenaan.

Katanya, ketika berhubung dengan NASA untuk kali pertama pegawai di agensi menunjukkan pelbagai imej yang dirakamkan di Marikh.

Berdasarkan novel 2011

Ketika itu kata Scott, dia yakin ada glasier besar-besaran di planet berkenaan.

"Pegawai NASA kemudian berkata, melihat kepada imej berwarna putih di permukaan Marikh, mereka memang menjangkakan ia adalah ais.

"Saya kemudian bertanya: Adakah itu bermakna pernah ada laut di Marikh? Adakah Bumi kini berada pada fasa Marikh 750 juta tahun silam?"

"Pegawai NASA kemudian membalas: Wah, soalan yang baik. Mereka kemudian menyiasatnya," kata Scott.

The Martian adalah filem fiksyen sains arahan Scott yang menampilkan Matt Damon sebagai peneraju utama.

Ia berdasarkan kepada novel dengan judul sama karya Andy Weir yang diterbitkan pada 2011.

Damon membawa watak angkasawan yang disangka mati di Marikh, tetapi hakikatnya dia masih hidup sendirian di situ dan bergelut untuk terus bernyawa.

Turut menjayakan filem itu ialah Jessica Chastain, Kristen Wiig, Jeff Daniels, Michael Pena, Kate Mara, Sean Bean, Sebastian Stan, Aksel Hennie dan Chiwetel Ejiofor.

Dalam filem itu Damon menemui air menggunakan alat khas yang dianggap Scott sebagai "asas utama pengairan".

Lihat Komen
ADS