Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Tidak mudah untuk mengekalkan sebuah perhubungan dalam sesebuah kumpulan, dan vokalis Wings, Awie, mengakuinya secara terbuka malam tadi.

Dalam nada insaf Awie berkata dia pernah melalui zaman getir sehingga membuatkan kumpulan rock itu terpaksa berpisah.

Namun segalanya berubah dan Wings berdiri utuh hingga sekarang dan mereka boleh menguburkan segala kepincangan yang pernah dilalui bersama.

“Dulu agak kebinatangan lebih sedikit," katanya.

Tetapi usah cepat melatah dengan ungkapan itu. Pada wajah Awie memang terlihat kekesalan dan dia menyambung kenyataan itu dengan "kini kita buang perkataan itu dan gantikannya dengan kemanusiaan".

Kemesraan dan keserasian sepanjang perjalanan dalam dunia muzik membuatkan dia seolah-olah ‘berkahwin’ dengan anggota lain Wings - Joe, Black dan Eddie.

Bagi Awie, keadaan itu menyebabkan perpisahan sementara mereka dirasakan lebih perit berbanding perpisahan dengan isteri.

“Saya seolah-olah berkahwin dengan anggota lain Wings. Tanpa salah seorang, kami akan pincang.

“Saya lebih terasa berpisah dengan mereka daripada (berpisah dengan) isteri saya," katanya.

Lepas ini hanya mahu diam

Awie dan Wings ditemui media di Kuala Lumpur di majlis memperingati tahun ke-30 kewujudan kumpulan legenda itu malam semalam.

Wings ditubuhkan pada 1985 dengan dianggotai lima anak muda sebagai anggota asal iaitu Awie, Jojet, Sham, Ipin dan Baharom.

Disebabkan perselisihan faham, Awie membuat keputusan keluar dari kumpulan berkenaan pada 1993 sebelum kembali pada 2002.

Untuk menghargai peminat, Wings akan mengadakan Konsert 30 Tahun Wings di Stadium Merdeka pada 31 Oktober ini.

Kata Awie, Wings adalah sumber pendapatan yang memberi penghidupan kepada semua anggotanya.

Menjelaskan punca perpisahan itu, Awie mendedahkan ia terjadi ekoran usianya masih terlalu mentah untuk membuat keputusan terbaik ketika itu.

“Ia berlaku kerana ketika itu darah muda menguasai dan saya terlalu mengikut emosi.

“Kalau waktu boleh diputar semula, memang sudah pasti saya elakkan perpisahan berkenaan,” katanya.

Kini kembali utuh, Awie berjanji untuk tidak mengulanginya.

“Saya berjani tidak mahu bergaduh lagi. Kalau ada yang tak memuaskan hati pun, saya akan mendiamkan diri.

"Anggota Wings faham sekiranya saya diam, itu tandanya ada sesuatu yang membuat saya berkecil hati,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS