Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Terkilan, namun akan berdiam diri - dan menyimpan rasa terbuku itu - untuk masa ini. Begitu pendirian anak lelaki Allahyarham Harun Salim Bachik menanggapi kemelut salah faham dialami keluarga besar itu.

Kata anak sulung Harun, Syafiq Al-Rashid, dia terkejut apabila mendapat tahu keluarga balu bapanya mengalami kesukaran hidup.

Bercakap kepada Malaysiakini , Harun memberitahu dia berpendapat sebarang masalah dalaman sepatutnya boleh diselesaikan secara kekeluargaan tanpa melibatkan pihak luar.

"Saya pun serba salah nak komen, tetapi memanglah rasa terkilan apabila beliau berkata tiada sesiapa membantu keluarga isteri arwah ayah di sana kecuali Afdlin (Shauki)," katanya.

Mengapa jadi begitu

Menurut Syafiq, 30, sejak sekian lama Harun sentiasa mementingkan nilai kekeluargaan mendidik anak-anak.

Katanya, Harun selalu berpesan bahawa wang dan kebendaan sentiasa boleh dicari namun hubungan kekeluargaan tiada galang gantinya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kesukaran dihadapi isteri Harun, dia ada menghubungi mereka beberapa kali, sama ada melalui panggilan telefon atau mesej.

Namun, kata Syafiq, semuanya tidak berjawab.

"Saya tertanya-tanya, mengapa jadi begitu?" katanya.

Di sebalik rasa terkilan itu Syafiq berkata, dia akan cuba mencari penyelesaian terbaik untuk merapatkan semula hubungan keluarganya dan balu bapanya.

Harun - atau nama sebenarnya Haron Aminar Rashid Salim - adalah pelakon terkenal dengan pelbagai kebolehan dan mula dikenali ramai melalui siri televisyen Rumah Kedai.

Beliau berkahwin dengan Martinah Ahmad, 52, dan memperoleh empat anak, termasuk Syafiq.

Selepas rumah tangga itu gagal bertahan Harun kemudian berkahwin pula dengan isteri keduanya, Suriati Mohd Noor dan pasangan itu mendapat dua anak.

Syafiq ditemui di majlis tayangan amal filem Polis Evo anjuran Pemuda Parti Amanah Negara di Shah Alam.

Sebelum itu penganjur juga mengadakan majlis doa selamat dan tahlil untuk Harun.

Cuba selesaikan nanti

Polis Evo adalah lakonan terakhir Harun sebelum beliau meninggal dunia pada 8 Mac lalu.

Ketika hayatnya Harun juga pernah berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Seniman Malaysia serta menjuarai pertandingan Maharaja Lawak Mega 2011 dengan bergandingan bersama Aflin Shauki.

Media sebelum ini melaporkan Suriati mengalami hidup yang sukar sejak Harun meninggal dunia dan keluarga itu kini banyak dibantu oleh Afdlin.

Kata Syafiq, walaupun dua anak Harun bersama Suriati adalah adik tirinya, dia tetap menganggap mereka sebagai darah daging sendiri.

"Insya-Allah kami akan cuba selesaikan apa saja salah faham itu nanti," katanya.

Seboleh mungkin, kata Syafiq, dia mahu bapanya dikenang sebagai pelakon atau seniman yang dikagumi ramai, bukannya dibayangi sebarang masalah peribadi.

"Biar orang ingat arwah yang sedang berada di puncak kerjaya," katanya.

Lihat Komen
ADS