Atas keyakinan filem bergenre seram masih mendapat penerimaan di kalangan penonton, MIG Pictures Sdn Bhd sekali lagi mempertaruhkan tema itu dalam filem terbaru mereka, Badi.

Bagi pengarahnya Eyra Rahman, Badi diyakini dapat bersaing dengan filem tempatan lain yang mencecah status box office kerana ia membawa unsur berkaitan sebahagian daripada realiti kehidupan.

“Filem seram masih releven.

Lihat saja Jwanita , orang ramai masih mahu pergi menontonnya,” katanya kepada Malaysiakini .

Ditemui di majlis pratonton Badi semalam, Eyra berkata, perkara tahyul seperti sudah menjadi resam dalam masyarakat dan kecenderungan itu tidak terbatas.

“Itu budaya rakyat Malaysia kerana orang kita memang suka kepada perkara tahyul.

“Kita tidak boleh sekat mentaliti mereka,” katanya.

Tambah Eyra, keseronokan dan keterujaan untuk menonton cerita seram mungkin disebabkan kewujudan hantu bukan sesuatu yang boleh dilihat dengan mata kasar.

Apabila unsur itu divisualkan sehingga dapat dikesan mata melalui paparan di layar, kata Eyra, penonton menjadi seronok.

Bukan sembarang diam

Perasaan menonton filem seram, katanya, adalah lain daripada menyaksikan kisah cinta yang sentiasa boleh disaksikan hampir setiap hari.

Sementara itu, Siti Adibah Yunus yang menjadi teraju wanita utama dalam Badi mempunyai cara tersendiri untuk menghayati peranannya di lokasi penggambaran.

Adibah yang sudah lima tahun berkecimpung dalam dunia seni berkata, dia banyak bersendirian dan kurang bercakap di lokasi untuk menjiwai watak yang diberikan - seorang gadis kampung yang hidup sebatang kara selepas satu-satunya insan tempat dia bergantung, Mek Nak, meninggal dunia.

“Bukan saya tidak bercampur dengan orang lain, saya akan berbuat demikian ketika masa makan, selebihnya saya perlu beri perhatian pada watak untuk menjaga emosi,” katanya.

“Bukan saya tidak mahu bercampur dengan orang lain. Saya akan berbuat demikian ketika masa makan, selebihnya saya perlu beri perhatian pada watak untuk menjaga emosi,” katanya.

Pelakon berusia 27 tahun itu berkata ada ketika tertentu dia sendiri berasa seram ketika melakonkan watak Sarah.

Antaranya, kata Adibah, ketika dia perlu perlu menyanyi dan menari tarian Mak Yong di lokasi penggambaran iaitu sebuah rumah kampung di Ijok pada suatu malam.

“Kampung di Ijok itu agak gelap dan agak jauh dari rumah orang lain," katanya.

Cari jalan tengah

Bagi pelakon utama lelaki Azwan Kombos pula, antara pengalaman tidak boleh dilupakan adalah ketika dia menjalani ujian saringan untuk Badi .

Dia diberikan watak Joe, seorang penuntut bidang perubatan.

“Saya tidak diberikan watak Joe begitu saja, sebaliknya seperti orang lain saya menjalani sesi uji bakat.

“Itu adalah saat paling sukar kerana saya perlu menarik perhatian penilai untuk menunjukkan saya mampu menjiwai watak diberikan lebih baik daripada orang lain," katanya.

Selain itu, ada kalanya Azwan terpaksa menghadapi dilema sebagai pelakon apabila ingin meluahkan pendapat bagi menjayakan watak yang dibawa.

“Saya perlu banyak bersabar dalam menjalani penggambaran. Saya ada pendapat sendiri dan pengarah juga ada pendapatnya sendiri.

"Apabila situasi itu berlaku, kami berbincang untuk dapatkan jalan tengah," katanya.