Penyanyi Dolly Parton menafikan laporan yang mendakwa dia kini mengidap kanser perut.

Kenyataan dibuat penyanyi berusia 69 tahun itu selepas majalah National Enquirer mengeluarkan berita mendakwa dia dikejarkan ke hospital kerana masalah kesihatan.

“Sesungguhnya tidak benar langsung saya mengidap kanser perut, tetapi apa yang benar saya ada batu karang,” katanya.

Spekulasi itu mula bertebaran selepas vokalis The Eagles, Don Henley menyatakan wanita itu terpaksa bergelut dengan isu kesihatan sebelum merakamkan video klip di Los Angeles.

Henly berkata demikian semasa diwawancara di Festival Muzik Americana bulan lalu.

Katanya, Dolly terpaksa bangun dari katil di hospital untuk bergandingan dengannya dalam video When I Stop Dreaming.

Pernah hidup amat susah

Dilahirkan di Sevier Tennessee, ikon muzik country itu memulakan kariernya sebagai penyanyi sejak 1955.

Selain menyanyi, anak keempat daripada 12 beradik itu pandai bermain instrumen muzik seperti gitar, piano dan banjo.

Berasal dari keluarga teramat miskin - pernah tinggal di kabin yang mempunyai satu bilik - Dolly sering menceritakan kepayahan hidupnya dalam lirik seperti Coat of Many Colors dan In the Good Old Days.

Menurut Dolly, masalah batu karang yang dihidapinya itu sudah beransur pulih selepas dia menjalani pembedahan tiga minggu lalu.

“Saya sudah kembali bekerja dan minggu lalu saya berada di Dollywood menjalani penggambaran siri baru televisyen Coat of Many Colors ,” katanya.

Bagaimanapun, Dolly menghargai keperihatinan umum terhadap isu berkenaan biarpun ia palsu.

“Saya gembira dan menghargai keperihatinan semua orang,” katanya.