Bagi Iwan Fals, ketika jerebu melanda Indonesia - dan negara jirannya - keutamaan kerajaan sepatunya adalah membantu mangsa berbanding memburu pesalah yang menjadi punca masalah.

Penyanyi Galang Rambu Anarki itu berkata masalah jerebu memang merimaskan.

"Tidak ada sesiapa mahukan bencana asap begini.

"Memang wajar pesalah diburu dan dihukum tetapi pada waktu ini ada mangsa jerebu. Justeru itu perlu ditolong dulu," katanya.

Penerokaan hutan dan pembakaran terbuka di beberapa pulau di Indonesia menjadi punca berlaku jerebu tebal yang turut menjejaskan kualiti udara negara berhampiran, termasuk Malaysia, Singapura dan Thailand.

Beberapa pihak menyatakan bantahan mereka kepada Jakarta kerana masalah itu berlaku dari semasa ke semasa walaupun tindakan undang-undang dilaporkan sudah diambil.

Masalah kemarau dan perubahan tiupan angin pula lebih memburukkan lagi keadaan.

Doa hujan segera

Di Indonesia, antara kawasan yang terjejas teruk ialah Sumatera, Kalimantan dan Papua.

Kata Iwan, 54, Presiden Joko Widodo perlu mengutamakan pengurusan kesan sosial berbanding tindakan undang-undang terhadap pembakar hutan.

"Bencana asap sudah berlangsung berbulan-bulan dan menyebabkan korban itu seharusnya ditangani setiap pegawai kerajaan dengan lebih banyak memberi penyelesaian masalah kepada mangsa," katanya.

Kata Iwan pihak kerajaan juga perlu memikirkan nasih flora dan fauna di wilayah yang diselaputi jerebut, selain masyarakat setempat.

"Bagaimana agaknya nasib orang utan di hutan sana," katanya.

Pada masa sama, kata penyanyi bernama asal Virgiawan Listanto itu, kerajaan juga nampak seperti bingung untuk mengatasi masalah berkenaan.

"Saya hanya berdoa semoga hujan segera turun dan masalah segera berakhir," katanya.