Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Watak' Bajrangi Bhaijaan kembali ke negara asal
Diterbitkan:  Oct 28, 2015 2:31 PM
Dikemaskini: 6:41 AM

Ketika Geeta tiba di lapangan terbang di New Delhi pada suatu Isnin, dia diberikan sambutan hangat sebelum diiringi pegawai keselamatan untuk bertemu Menteri Luar India, Sushma Swaraj.

Geeta bukan sembarangan perempuan.

Kini berusia 20-an, Geeta ditakdirkan pekak dan bisu. Dalam keadaan serba terbatas itu dia terkandas sendirian di Pakistan selama 13 tahun sebelum kembali ke India untuk bertemu keluarganya.

Apabila tiba di New Delhi, bukan sambutan menteri yang ditunggu-tunggu Geeta, sebaliknya keputusan ujian DNA yang dapat membuktikan dia adalah anak pasangan suami isteri dari Bihar.

Kisah Geeta itu kurang lebih mengingatkan filem popular terkini Bollywood, Bajrangi Bhaijaan yang mengisahkan seorang kanak-kanak perempuan - juga pekak dan bisu - dari Pakistan yang tersesat di India.

Kira-kira sama seperti filem berkenaan, masalah Geeta juga menyebabkan New Delhi dan Islamabad - yang selama ini tegang dalam hubungan diplomatik - terpaksa bekerjasama di peringkat tertinggi.

Geeta yang ketika itu tidak diketahui namanya, ditemui sendirian, keliru dan tanpa pengenalan diri di Lahore pada 2002, dipercayai selepas menaiki kereta api dari India.

Telefon tak lengkap

Dia kemudian diletakkan di bawah seliaan Yayasan Edhi - sebuah pertubuhan kebajikan terkenal di Pakistan dan berpangkalan di Karachi.

Di situ Geeta tinggal lebih sedekad dalam kawasan yang dilengkapi dengan kemudahan dia beramal secara sendirian.

Dia juga bertuah kerana diberi perhatian khusus oleh Abdul Sattar Edhi dan isterinya, Bilquis, dan memberi namanya sebagai Geeta.

Media melaporkan Bilquis berharap Geeta dapat dikahwinkan dengan mana-mana lelaki Hindu di Pakistan, namun dia tidak pernah berputus harap untuk kembali ke kampung halamannya.

Untuk mengesan keluarga sebenar Geeta tidak mudah. Maklumat mengenainya adalah terhad, iaitu satu nombor telefon tidak lengkap,

Tulisan yang diturunkan Geeta juga tidak difahami sesiapa.

Kisah sebenar Geeta juga bercampur-baur.

Satu pihak mendakwa menemui gadis itu berkeliaran di kawasan sempadan India - Pakistan selepas pesta keagamaan berlangsung.

Populariti Bajrangi Bhaijaan dimanfaatkan oleh pasangan suami isteri Edhi untuk menonjolkan kisah hidup Geeta.

Paparan itu menarik minat sebuah keluarga di Bihar, India yang mendakwa mengenali Geeta.

Mereka kemudian menghubungi diplomat India di Islamabad untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Namun ada masalah di situ. Menurut jurucakap keluarga terbabit, anak perempuan mereka sudah berkahwin dan memiliki seorang anak ketika keluar meninggalkan rumah kira-kira 13 tahun silam.

Sementara itu selepas tiba di New Delhi, Geeta dilaporkan enggan mengenal pasti "keluarganya" tetapi Swaraj berkata apa yang lebih penting adalah menjaga kebajikan wanita terbabit.

"Tidak kisah sama ada Geeta bertemu ibu bapanya atau tidak. Dia anak India dan kerajaan akan menjaganya," kata Swaraj.

Perdana Menteri India Narendra Modi juga mencari ruang di antara jadual ketatnya untuk meraikan kepulangan Geeta.

"Sangat menggembirakan menyambut anda pulang," katany melalui Twitter kepada 15.7 juta pengikutnya.

Welcome Geeta. It is truly wonderful to have you back home. Was truly a delight to spend time with you today. pic.twitter.com/DngJF2Tk31

— Narendra Modi (@narendramodi) October 26, 2015


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS