Pertikaian mengenai bayaran gaji antara pemilik syarikat Colors Blossom Box Sdn Bhd, Norjuma Habib Mohamed dan Jezmaine Zaidan dengan salah seorang pekerjanya berjaya diselesaikan di pejabat Jabatan Tenaga Kerja Selangor di Subang Jaya hari ini.

Bagaimanapun, sebelum ia diselesaikan berlaku sedikit kekeliruan mengenai masa yang ditetapkan jabatan itu untuk mendengar hujah kedua-dua pihak.

Menurut pengadu, Athirah Azhar, melalui surat yang diterima daripada jabatan berkenaan, dia diminta hadir ke pejabat hari ini pada jam 11 pagi.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira jam 9.30 pagi ketika dalam perjalanan ke pejabat itu dia mendapat panggilan daripada Pengarah Tenaga Kerja Negeri Selangor Norhaidah Ismail yang memaklumkan pendengaran kes itu berjalan jam 9 pagi.

“Saya begitu terkejut kerana dalam surat yang diberikan kepada saya tertulis jam 11 pagi, tetapi tanpa sebarang sebab dimaklumkan, tiba-tiba ditukar kepada 9 pagi.

“Jika takdirnya saya gagal hadir, sudah tentu tuntutan saya dibatalkan,” katanya kepada Malaysiakini selepas kes berkenaan diselesaikan.

Perkhidmatan Athirah sebagai pencari pembekal dan maklumat di Colors Blossom Box bermula sejak 18 Mac lalu dan kontrak sepatutnya tamat pada 28 Ogos.

Mengapa tahan gaji

Bagaimanapun, disebabkan ingin melanjutkan pengajian di Manchester, dia menyerahkan surat peletakan jawatan pada 21 Ogos dengan meminta pelepasan empat hari lebih awal daripada tarikh sebenar.

Kata Athirah, permohonan itu diluluskan Norjuma dan sepatutnya pengadu dibayar gaji berjumlah RM2,322 pada 28 Ogos, namun ia tidak dilakukan.

Selain mengendalikan Colors Blossom, Norjuma turut memiliki 24 kedai termasuk 18 kedai konsep Aidijuma serta lima Blossombox Store.

Kes diadu kepada Pegawai Tenaga Kerja Haniff Che Wan pada 8 September lalu.

Menurut Athirah, ketika itu dia berhak untuk berhenti dalam tempoh 24 jam kerana di dalam surat kontrak tidak tertera sebarang notis perlu diberikan sebelum meletak jawatan.

“Saya tidak berpuas hati kerana tanpa alasan kukuh dia menahan gaji saya.

“Saya berpendapat Norjuma melanggar undang-undang pekerja sedangkan saya sudah melakukan penyerahan semula segala kerja yang berkaitan kepada pihak syarikat,” katanya.

Penantian Athirah sekurang-kurang hampir tiga bulan untuk menerima gaji akhirnya berakhir selepas Norjuma melunaskan bayaran cek pada pendengaran kes hari ini.

Penjelasan Norjuma

Sementara itu Norjuma berkata, aduan mengenai isu itu diterima pada September dan gaji yang dipertikaikan Athirah adalah untuk Ogos.

"Takkanlah dia menunggu tiga bulan apabila gaji yang dituntut adalah untuk Ogos," katanya.

Norjuma juga berkata, dia menerima surat peletakan jawatan Athirah pada 19 Ogos dan bukannya 20 Ogos.

"Malah saya juga tidak tahu menahu mengenai hasratnya menyambung pengajian ke Manchester.

"Adik saya pun ada nak sambung belajar ke Manchester," katanya.

Norjuma juga berkata Athirah adalah kakitangan kontrak dan pihak syarikat tidak bercadang untuk menyambung perkhidmatannya apabila ia berakhir.

Pada masa sama, Norjuma berkata, ada beberapa tugasan yang diberi kepada Athirah tidak disiapkan sehingga hari terakhir kontraknya di syarikat berkenaan namun pihak syarikat tidak bercadang untuk memanjangkan isu berkenaan.

"Saya ada 200 kakitangan dan 24 kedai. Justeru saya tidak mahu bergaduh dengan dia.

"Untuk maklumat juga, saya sudah maafkan dia. Forgive and forget ," katanya.