Kerajaan tidak menganggap Akta Penapisan Filem 2002 menghalang kebebasan rakyat menyatakan pandangan mereka secara bebas.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz malah percaya negara ini mempunyai acuan sendiri untuk mengawal kesopanan dan keamanan.

“Kita ada adab ketimuran kita. Maksudnya kita tahu apa kita nak persembahkan kepada rakyat.

“Kalau gay dan gay berpegang tangan itu tidak perlu,” katanya kepada Malaysiakini .

Nazri ditemui selepas melancarkan Festival Filem Kesatuan Eropah ke-16 bersama Duta dan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia Luc Vandebon di Kuala Lumpur malam tadi.

Festival itu mempersembahkan 22 filem dari 18 negara Eropah yang pernah memenangi anugerah.

Pawagam GSC menayangkan filem berkenaan iaitu pawagam mereka di Lembah Klang, Georgetown, Pulau Pinang; Kuching, Sarawan dan Kota Kinabalu, Sabah.

Sebelum ini, Malaysiakini menyiarkan laporan Human Right Watch (HRW) yang mengkritik Akta Penapisan Filem 2002.

Dalam laporan pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa itu, akta berkenaan didakwa menjadi antara alat mengekang kebebasan bersuara di Malaysia.

Menurut HRW, seksyen 6 akta berkenaan menyatakan mana- mana video yang tidak mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem Malaysia tidak boleh ditayangkan kepada umum.

Perkara yang dilarang tidak kira sama ada membawa kesan negatif atau sebaliknya.

Pengarah HRW Asia Brad Adams membentangkan laporan setebal 145 halaman itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.