Sewaktu watak Marty McFly (lakonan Michael J Fox) pertama kali dihantar merentas masa ke tahun 1985 dalam Back to the Future, ia memberi kesan mendalam dan mempengaruhi kehidupan dua kanak- kanak.

Apabila meningkat dewasa, kedua-dua mereka tergerak untuk menubuhkan kumpulan peminat trilogi filem itu di Facebook.

Menurut pengasasnya, Najib Tumiran, 31, dia mempunyai alasannya tersendiri untuk meminati filem arahan Robert Zemeckis itu dan secara kebetulan dilahirkan pada tarikh McFly terbang ke masa depan dalam Back to the Future 2 .

“Saya begitu meminati filem itu kerana tarikh pada 21 Oktober itu begitu istimewa,” katanya kepada Malaysiakini.

Kata pelukis ilustrasi itu, Back to the Future sememangnya memberi impak besar dalam hidupnya sejak kecil.

Ketika berumur enam tahun, Najib menggemari seni lukis kerana terpengaruh dengan karakteristik pada mesin perentas masa Delorean yang digunakan sebagai alat pengembaraan dalam cerita itu.

“Saya mula minat cerita itu pada 1990-an dan berumur hanya enam tahun ketika itu namun ia memberi pengaruh pada kerjaya saya.

“Nilai estetika pada kereta itu membuatkan saya minat melukis robot dan makhluk asing,” katanya.

Mahu ke zaman P Ramlee

Menganggap McFly sebagai idola, tidak menghentikan minat Najib setakat itu saja. Dia juga bermain dram dan skateboard - semuanya kerana McFly.

“Saya minat muzik dan belajar bermain dram selepas melihat McFly membuat persembahan muzik. Secara tidak langsung, saya juga belajar bermain skateboard selepas menonton cerita itu,” katanya.

Berlainan pula dengan pengasas bersama kumpulan itu, Adam Shahruddin, 30, yang memasang impian tersendiri sejak dari kecil untuk memiliki mesin perentas masa.

“Saya mahu mengembara ke zaman Allahyarham P Ramlee masih hidup untuk melihat dia berlakon, menyiapkan produksinya, dan menatap wajahnya walaupun sebentar.

“Beliau seorang seniman yang mungkin mampu membuat nama negara masyhur di Hollywood.

“Masa belajar dulu pula, saya juga mahu pergi ke zaman depan, ketika saya tidak lagi perlu pergi ke sekolah,” katanya.

Dan kerana minat mendalam terhadap kereta itu, Adam sudah pun menempah dan bakal boleh berbangga dengan model set Hot Toys yang dibelinya.

“Tidak sabar untuk menunggu hingga tahun depan. Kereta Back to the Future berskala paling besar 1:6 berharga sekurang-kurang RM2,000 akan tiba. Panjangnya hampir satu meter dan mungkin seberat seorang kanak-kanak,” katanya.

Filem terlaris 1985

Adam dan Najib juga mengumpul peralatan serta pakaian yang diguna dalam Back to the Future seperti kasut replika Nike Air Mag, hoverboard, jaket McFly dan poster - biar pun ia susah untuk dicari.

“Disebabkan sukar untuk mencari bahan koleksi di awal 1990-an, kami mula ‘meredah’ Internet dan e-Bay sebab di sini (Malaysia) tidak ada dijual pada masa itu.

“Sekarang, saya sanggup pergi melancong ke Singapura dan Jepun untuk mendapatkannya biar pun susah," kata Najib.

Baru-baru ini juga mereka bekerjasama untuk mengadakan sesi tontonan maraton Back to the Future walaupun tarikh tayangannya terlewat sedikit dari 21 Oktober 2015.

Ia diadakan di Kafe Skrin - sebuah restoran berkonsep filem dan selebriti - di Ukay Boulevard Hulu Kelang.

Penonton boleh menikmati hidangan sambil menonton wayang di situ.

Sejarah menyaksikan, kejayaan Back to the Future membawa kepada sekuel bahagian II dan III.

Dalam Back to the Future 2 (1989), McFly, Dr Emmett Brown (Christopher Lloyd) dan Jennifer Parker (Elisabeth Shue) mengembara ke masa depan - dari tahun 1985 ke 2015 - untuk menghalang bakal anak lelakinya daripada dipenjara.

Dengan kutipan penjualan tiket menjana keuntungan lebih RM1 bilion (USD300 juta), ia menjadi filem terlaris pada 1985.

Ia memenangi beberapa anugerah antaranya Anugerah Hugo untuk Persembahan Terbaik Dramatik, Anugerah Saturn untuk Filem Fiksyen Terbaik dan Anugerah Akademi untuk Pengubahsuaian Kesan Efek Terbaik.