Kumpulan punk dari Bali, Superman Is Dead (SID) sepakat memboikot syarikat telekomunikasi Telkomsel kerana dianggap menyokong projek tebus guna Teluk Benoa di pulau peranginan berkenaan.

Sebagai simbolik terhadap pemboikotan itu penyanyi SID, Bobby Cool, Jerinx (dram) dan Jhon Eka Rock (bass) mematahkan kad sim Telkomsel mereka.

Kata Bobby, langkah memboikot syarikat telekomunikasi itu adalah cara paling sesuai untuk menunjukkan rasa marah mereka terhadap sokongan yang diberi kepada projek berkenaan.

"Tindakan Telkomsel menyebarkan mesej ringkas yang cenderung menyokong projek tebus guna Teluk Benoa mesti dilawan," katanya.

Projek tebus guna seluas 700 hektar itu dibuat ekoran kebenaran diberi Presiden Indonesia pada tahun lalu tetapi didakwa bercanggah dengan keputusan pemimpin sebelumnya.

Kata pengkritik projek berkenaan tidak wajar diteruskan kerana ia berada dalam kawasan peliharaan semula jadi khas.

Cara paling tepat, luhur

Selain aktivis alam sekitar projek tebus guna itu juga mendapat tentangan daripada ramai seniman, termasuk Iwan Fals dan SID sendiri.

SID dan aktivis lain kini bergabung dalam Forum Masyarakat Bali Tolak Reklamasi (FoBali), menolak projek tebus guna kerana menganggap ia jelas melanggar konsep Tri Hita Karana (konsep keharmonian antara tuhan, alam dan masyarakat) yang sangat dijunjung tinggi masyarakat Bali.

Kata Bobby, SID tidak pernah bekerja sama dengan Telkomsel dalam apa juga bentuk selagi syarikat itu dilihat bekerjasama dengan pelabur yang ingin "merosakkan Bali".

“Kami sebagai seniman ada cara sendiri menyampaikan mesej kepada orqang ramai. Antaranya dengan memboikot Telkomsel dan ia adalah cara paling tepat benar dan luhur.

“Kami juga mahu presiden membatalkan perintah sebelum ini supaya Teluk Benoa kekal menjadi kawasan indah dan lestari," katanya.

Sebenarnya kesedaran SID kepada alam sekitar tidak terhad di Bali saja.

Mereka turut menyokong gerakan Jogja Ora Didio (Jogja tidak dijual) bersama masyarakat Jogjakarta yang ingin menyelamatkan ekologi wilayah itu daripada dirosakkan pembangunan pusat beli-belah, hotel dan kediaman.

Menurut Bobby, di mana saja SID berada, mereka tidak lupa menyebarkan pesanan supaya menjaga alam sekitar.

“Kami harap semua pihak bermula dengan langkah paling kecil seperti tidak mebuang sampah sembarangan dan mengurangkan pencemaran udara dengan lebih kerap berbasikal," katanya.

Siang ini di Rumah Sanur - Creative Hub - diskusi ttg reklamasi & pergerakan sosial bersama pakar reklamasi internasiona...

Posted by SID on Friday, October 30, 2015

Sementara itu Naik Presiden Komunikasi Korporat Telkomsel, Adita Irawati berkata pesanan ringkas yang disebarkan syarikat berkanan adalah antara perkhidmatan layanan bahagian pengiklanan mereka.

"Ia berfungsi seperti iklan di media lain. Ia dibenarkan dengan syarat tidak mengandungi bahan berunsur minuman keras, senjata api, berunsur judi, lucah atau menghina.

“Seluruh kandungan dalam iklan itu adalah tanggung jawab pengiklan," katanya.