Malaysiakini Seni & Hiburan

Shikin, Wil B terbaik di Supermodel Search 2015

Norman Goh  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Selepas dua bulan berlangsung, akhirnya Shikin dan Wil B dinobatkan sebagai juara Malaysia Supermodel Search kedua di Paradigm Mall, Petaling Jaya.

Malaysia Supermodel Search merupakan program realiti lapan episod yang disiarkan secara atas talian menampilkan beberapa siri cabaran dalam catwalk, penggambaran, lakonan dan penggayaan.

Di peringkat awal program sebanyak 20 orang dipilih melalui pencarian bakat di seluruh negara.

Program realiti ini adalah cetusan ilham selebriti dan peragawati terkenal, Amber Chia dan 'guru catwalk' Benjamin Toong. Ia bermula sejak 2011 dengan matlamat melahirkan peragawan dan peragawati bertaraf antarabangsa.

Ketika ditemui Malaysiakini , Chia melahirkan rasa bangganya melihat kemampuan 10 finalis yang telah melalui transformasi untuk menjadi peragawan dan peragawati yang boleh setanding dengan supermodel antarabangsa nanti.

“Setelah lima tahun menganjurkan acara ini, saya berasa amat gembira dan bangga dengan kualiti model-model di Malaysia yang amat berpotensi.

“Sememangnya bukan mudah bagi kami menghakimi dan memilih 10 daripada 20 finalis.

"Finalis tahun ini menampilkan potensi dan kualiti yang tinggi dalam setiap cabaran,” katanya.

Tak sangka rangkul juara

Model kelahiran Teluk Intan, Perak itu memulakan kariernya sebagai supermodel selepas menjuarai salah satu pertandingan 17 tahun lalu.

Bagi Toong yang pernah menjadi jurulatih finalis Miss Universe Malaysia pada 2013, beliau kelihatan agak beremosi ketika memberi ucapan sebelum menamakan pemenang pada malam itu.

“Suatu perjalanan yang cukup bermakna untuk saya dan Amber yang telah bersama mereka sejak mula hingga sekarang.

"Walaupun saat ini agak beremosi, saya berasa amat bertuah dan bangga melihat setiap finalis menyerlah di pentas,” ujar Toong.

Sementara itu pemenang pertama, Shikin - atau nama sebenarnya Nurfashikin Mohd Faisal Gomez, dia langsung tidak menjangka akan dipilih sebagai juara.

Gadis berdarah kacukan kacukan Melayu-India itu berumur 23 tahun dan berasal dari Selangor.

Shikin merangkul kejuaraan kategori wanita selepas menumpaskan 15 finalis lain.

Beliau juga adalah antara sebahagian daripada finalis Melayu yang berjaya menempa tiket sebagai 20 finalis terakhir.

“Saya langsung tidak menyangka muncul juara malam ini.

"Finalis lain cukup hebat tetapi mungkin malam ini saya dapat melakukan yang terbaik dan menikmati peragaan di pentas,” kata Shikin kepada Malaysiakini .

Wilson Beh atau Wil B yang menjadi pemenang kategori lelaki adalah pelajar separuh masa dan - seperti Shikin - berasal dari Selangor.

Wil B, 21, juga tidak menyangka memenangi pertandingan kali ini

“Semasa mereka mengumumkan nama saya sebagai juara, tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan saya pada masa itu," katanya.

Kemenangan itu juga disambut Wil B dengan rasa amat teruja untuk menanti melebarkan lagi sayapya dalam bidang peragaan, sama ada di peringkat Malaysia atau di persada antarabangsa.

Tempat kedua kategori lelaki dimenangi oleh Mika Aaron Jenewin, 17, manakala ketiga Ooi Jin Hoon, 21. Kedua-dua mereka juga berasal dari Selangor.

Ooi turut memenangi anugerah Bakat Terbaik.

Untuk kategori wanita pula, tempat kedua dimenangi oleh Ong Cyii Cheng, 17, (Selangor) dan ketiga Fish Zhang Yu, 25, dari China.

Anugerah khas turut diberikan kepada calon dari Sarawak, Joash Kong, 23, yang mendapat pengiktirafan sebagai finalis kesukaan ramai selepas mendapat undian tertinggi melalui media sosial.

Hakim pada malam itu ialah termasuk peragawan dan pelakon terkenal, Nazim Othman; Pengarah Venus Models Agency dari Vietnam, Vu Khac Tiep; pemenang Asia New Star Model 2014 Vietnam, Ky Han; CEO YS Mobile, Datuk Seri Jessy Lai; Pengurus Paradigm Mall, Phoster Sageh; Chia dan Toong.