Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Amy Search jual khat untuk dana sekolah tahfiz

Selepas mendirikan pusat pengajian tahfiz Sekolah al-Quran dan Hadis Al Bayyan, usaha vokalis Search Amy tidak terhenti begitu saja.

Dia meneruskannya dengan melancarkan kempen khas bagi mengumpul dana membantu pembangunan dan operasi sekolah itu.

Usaha kali ini ditingkatkan dalam projek Cahaya Jiwa, yang bekerjasama dengan pelukis prolifik Saiful Kadir menerusi penjualan lukisan khat.

“Inilah permulaan perjalanan hidup saya walaupun sudah hampir 35 tahun berkecimpung dalam dunia muzik.

“Ini juga saat terindah yang mampu diberikan kepada masyarakat,” katanya.

Amy, 57, ditemui di sidang media projek itu di Kuala Lumpur semalam.

Pembeli boleh membeli sambil beramal kerana sebanyak 30 peratus daripada wang itu akan disumbangkan terus kepada Al Bayyan.

Peminat Search hantar anak

Cahaya Jiwa dilangsungkan sempena sambutan Maulidur Rasul. Ia bermula 23 hingga 25 Disember di Istana Budaya.

Sepanjang tiga hari itu, sebanyak 40 lukisan khat akan dipamerkan.

Selepas program di Istana Budaya, Amy merancang untuk meneruskan jelajah Cahaya Jiwa di beberapa lokasi di seluruh negara.

Buat masa ini, sekolah itu mempunyai 25 pelajar dengan lima tenaga pengajar dan seandainya tiada halangan, bilangan itu akan bertambah, kata Amy.

Menurutnya, dia begitu teruja apabila berjaya mendirikan sekolah tahfiz berkenaan kerana kebanyakan ibu bapa pelajar terdiri daripada peminat Search.

Ia menambahkan lagi kegigihannya untuk melihat masa depan anak mereka sebagai orang berjaya.

“Saya mahu mereka keluar satu hari nanti dengan penuh ilmu di dada dan menjadi pakar dalam bidang diceburi di samping masing-masing memasang impian besar,” katanya.

Amy berkata, dari segi peruntukan, dia tidak berasa bimbang kerana setakat ini segala urusannya sentiasa dipermudahkan.

“Buat masa ini segalanya masih berjalan lancar. Kalau pun tidak cukup, akan ada pihak yang sudi menghulur bantuan. Jangan bimbang, rezeki Allah bagi tidak lebih tetapi mencukupi,” katanya.

Lihat Komen
ADS