Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kemelut dalam negara: Bertabahlah, kata Altimet

Walaupun ada sebab untuk rakyat Malaysia berasa bimbang dengan situasi semasa negara, di sebalik keadaan itu, penyanyi rap Altimet melihat ada hikmah tersembunyi.

Keyakinan itu dibuatnya ketika ditanya mengenai keadaan semasa politik dan diperburukkan lagi dengan kecenderungan sesetengah pihak membakar isu perkauman untuk mempengaruhi rakyat.

Bagi Altimet, biarpun ada beberapa dalaman negara mengundang pelbagai reaksi negatif masyarakat domestik dan antarabangsa, ia masih boleh diatasi demi kesejahteraan rakyat.

“Rungutan hanya datang daripada sebahagian rakyat dan tidak mendatangkan masalah besar.

“Saya nampak ada pihak tertentu memainkan isu itu untuk memenuhi agenda mereka,” katanya kepada Malaysiakini .

Perkauman tak perlu ada

Menurut penyanyi berusia 37 tahun itu, semua pihak perlu menggalas tanggungjawab bersama untuk meleraikan masalah yang melanda.

Menganggap dirinya bukan saja artis tetapi juga sebahagian daripada rakyat, Altimet berasakan pendekatan yang betul oleh kerajaan dapat mengembalikan kredibiliti negara yang kini terjejas.

“Semua orang perlu membuat perkara yang dianggap betul, tetapi sentimen seperti perkauman itu tidak perlu ada,” katanya.

Bagi Altimet, keadaan yang dihadapi kini adalah lumrah dan menyamakan keadaan itu seperti perjalanan sukarnya mengharungi kerjaya.

Kata penyanyi Kalau Aku Kaya itu, dari semasa ke semasa memang akan ada cabaran perlu ditempuh sebelum ia dapat diatasi sepenuhnya.

“Setiap perkara ada pasang surutnya.

“Mungkin sekarang tiba masa untuk negara kita perlu mengalami sedikit kesurutan. Seperti karier seseorang yang berjaya, dia pasti ada waktu untuk turun dan naik,” katanya.

Altimet mengingatkan, dalam setiap masalah pasti ada sesuatu yang boleh dijadikan iktibar.

“Bila kita jatuh dan mengalami kerumitan sebegini, kita akan belajar banyak perkara.

“Andai masa ini langkah perjalanan Malaysia bagaikan tersadung kaki, bersabarlah. Ia mungkin membuka peluang untuk kita belajar sesuatu yang baru tentang diri dan dunia.

“Amat bahaya kalau kita sentiasa di atas kerana ia mungkin menimbulkan perasaan bongkak dan riyak,” katanya.

Lihat Komen
ADS