Balu Robin Williams, Susan Schneider, memaafkan suaminya kerana mengambil keputusan untuk menamatkan hidup sendiri kerana memahami penderitaan dialami pelakon berkenaan.

Kata Susan, sebelum ini suaminya memang bagai menanti masa untuk membunuh diri kerana tidak sanggup hidup sambil menanggung penyakit demensia - atau dalam bahasa mudah, nyanyuk.

Bagi wanita berusia 51 tahun itu, masalah kesihatan dihidapi Williams tetap bakal meragut nyawa suaminya suatu hari nanti.

Keadaan itu ditambah dengan kemurungan dialami Williams serta kebimbangannya jika suatu ketika nanti terpaksa ditempatkan di rumah penjagaan orang tua.

Pada awalnya, spekulasi menyatakan Williams membunuh diri kerana kemurungan, namun masalah kesihatan menunjukkan pelakon itu menghidap penyakit "demensia dengan badan Lewy" (DLB).

DLB adalah bentuk umum penyakit demensia yang dihidapi lebih 100,000 orang di AS.

Kebanyakan pakar berpendapat, DLB adalah penyakit ketiga paling lazim menyebabkan Alzheimer's dan demensia vaskular.

Demensia pula menggambarkan hilangnya kemampuan mental akibat kematian bertahap sel dalam otak.

Paling lama tiga tahun

Dalam kes DLB, gumpalan kecil daripada protein abnormal - disebut badan Lewy - terbentuk di otak. Ia juga hadir dalam otak pesakit Parkinson.

Pelakon berusia 63 tahun itu pernah membintangi pelbagai filem yang memenangi anugerah, seperti Good Will Hunting, Good Morning Vietnam dan Mrs Doubtfire .

Dia ditemui mati di rumahnya di Tiburon, utara California.

Dalam temubual pertama sejak kematian suaminya, Susan mendedahkan kemurungan bukan faktor membunuh Williams.

“Kemurungan hanya satu antara 50 simptom dan ia masalah kecil. Jika Williams bertuah dia mungkin mempunyai tiga tahun lagi untuk hidup,” katanya.

Menurut Susan, tidak mungkin suaminya akan membunuh diri tanpa sebab, kerana dialah lelaki paling berani yang pernah dikenalinya.

Kata Susan, penyakit dialami itu memang membataskan kehidupan Willams.

“Akibatnya, dia (Williams) mengalami perasaan tidak senang, khayal, kekakuan pergerakan dan hilang upaya suara,” katanya.

Susan masih ingat saat sebelum suaminya pergi meninggalkannya di kediaman mereka di California.

“Dia menawarkan diri untuk mengurut kaki sebelum tidur, tetapi saya memberitahu, dia tidak perlu melakukannya malam itu.

“Dan saya tidak boleh melupakan pandangannya ketika itu yang kelihatan amat sedih dan saya berasa ada sesuatu yang ingin disampaikan," katanya.

Cerita Susan, tidak lama kemudian Williams keluar masuk bilik beberapa kali dan apabila menghampiri almari, dia ketawa.

Kata Susan, perkataan terakhir diungkapkan Williams kepadanya ialah "Selamat malam sayang".

"Dan saya membalasnya dengan kata-kata sama," kata Susan.