Bahagian 2

Sebelum ini Darko C - seperti majoriti penganut lain Buddha - menganggap penduduk minoriti Rohingya sebagai imigran haram yang menyusahkan dari Bangladesh.

Mengenai punca kekeliruan itu Darko menyalahkan media Myanmar kerana memberikan laporan berat sebelah mengenai krisis antara penduduk Islam dan Buddha di negara berkenaan.

Salah maklumat itu, kata Darko, mendorong kira-kira sejuta masyarakat Rohingya terperuk di kawasan terpinggir, terbiar dan menderita di beberapa kem berhampiran sempadan Bangladesh.

Menyedari situasi itu, Darko mula memuat naik kenyataan mengecam Ma Ba Tha dan penyokong gerakan itu melalui media sosial.

Dia sendiri beragama Buddha, Darko secara bergurau berkata, dia bercadang menukar agama kepada Donyi-Polo untuk mencetuskan dialog antara agama secara sihat di Myanmar.

"Saya tahu ramai orang tak mahu bercakap mengenainya, tetapi bagi saya apa yang dilakukan oleh Ma Ba Tha adalah gila," katanya.

Tak ramai berfikiran waras

Menjelang pilihan raya umum di Myanmar, Darko berkata, orang ramai perlu bercakap mengenai isu Rohingya dengan lebih kerap dan tegas.

Baru-baru ini Side Effect bekerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Turning Table, untuk menghasilkan sebuah lagu berjudul Wake Up Myanmar dan dinyanyikan di pelbagai lokasi seluruh negara.

Melalui lagu itu Side Effect menyampaikan mesej supaya kerajaan menamatkan pemerintahan diktator serta membatalkan undang-undang zalim.

"Saya harap tiada sesiapa datang pada tengah malam mengetuk pintu rumah saya selepas ini," katanya ( gambar ).

Sama seperti kebanyakan kumpulan punk rock underground , Side Effect menggunakan irama dan lirik untuk menyampaikan kritikan terhadap pelampau Buddha.

Satu lagi kumpulan punk - dianggap antara band paling lantang bersuara - Rebel Riot pula menganggap junta tentera Myanmar punca mutu pendidikan negara itu merudum.

Penyanyi kumpulan yang ditubuhkan selepas kebangkitan demokrasi pada 2007 itu, Kyaw Kyaw, 28, berkata masyarakat negara itu "buta".

"Terlalu ramai orang yang tidak mampu berfikir secara waras dan terbuka. Di sekolah pelajar dididik mengenai nasionalisme dan keadaan itu dimanipulasi oleh Ma Ba Tha," katanya.

Seperti Side Effect, Rebel Riot juga mengundang kontroversi hasil pendirian mereka kepada isu semasa.

Salah satu lagu mereka ialah Stop Racism and F**k Religious Rules.

Sejurus selepas lagu itu diperdengarkan pada 2013, Kyaw Kyaw mula mendapat ancaman melalui mesej di Facebooknya.

"Ada antara penyokong Ma Ba Tha menulis: Kami tahu siapa kau dan di mana tempat tinggal kau.

"Namun saya tidak bimbang kerana saya bercakap benar," katanya.

Bahagian 1: Punk rock melawan pelampau Buddha