Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tindakan pihak yang berkenaan ‘melupakan’ penyair dan pelakon dalam satu antara drama yang memenangi Anugerah Skrin TV3 2015 (ASK2015) dilihat sesetengah pihak sebagi tidak wajar dan mengecewakan.

Ketika Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin dan orang penting di belakang drama itu berada di pentas untuk menyatakan rasa gembiranya kerana memenangi anugerah itu, salah seorang daripada mereka menyeru nama seseorang lain yang tiada di situ - Pyanhabib.

Sememangnya nama Pyanhabib berkumandang tetapi kelibatnya tidak kelihatan di tempat acara itu dilangsungkan di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Malah dia dikatakan terkejut apabila ada rakannya menghantar mesej melalui telefon bimbit memberitahunya mengenai kemenangan drama berkenaan.

Hal itu mendorong beliau memuatnaik statusnya yang amat ‘bersahaja’ di Facebook.

“Nama gua (aku) diseru satu Malaysia menerusi televisyen di Anugerah Skrin TV3 sempena kemenangan Lorong Kecil ke Syurga arahan Raja Mukhriz. Drama itu diangkat sebagai Drama Terbaik di samping anugerah lain dan nama penyeru itu ialah tuan penerbit.

“Satu Malaya, beb! Satu Malaya nama gua (aku) diseru, laksana Abam Najib seru kenaikan BRIM 2016, keh keh!” tulisnya.

Cerita bekas banduan

Drama itu turut memenangi empat anugerah lain iaitu Pengarah Terbaik yang juga dimenangi oleh Raja Mukhriz, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Raja Ilya), Lakon TV Terbaik (Joe Sidek) dan Penyunting Terbaik (Akashdeep Singh).

Dalam drama itu Pyanhabib membawa watak Pak Seman yang sering menulis puisi dan berperanan sebagai 'pembimbing' kepada watak lain.

Bagi peminat filem yang pernah menonton Kembara Seniman Jalanan, Pak Seman itu sebenarnya lanjutan kepada adalah susuk Osman Tikus yang kini semakin berusia.

Osman Tikus juga menjadi salah satu watak paling diingati bagi filem berkenaan.

Tiga sajak Pyanhabib juga digunakan dalam drama itu namun difahamkan ia tidak diberi kredit sehingga akhir drama berkenaan.

Lorong Kecil ke Syurga mengisahkan Azmi - bekas banduan lakonan Faizal Hussein - hidup sebagai gelandangan dan bertemu seorang budak lelaki yang sebenarnya adalah anaknya sendiri, Haikal (Izz Ilham).

Dari situ dia berusaha mendalami agama untuk menjadi bapa yang baik.

Terdahulu, sebelum acara ASK 2015 itu berlangsung, Pyanhabib ada menerima mesej daripada Raja Mukhriz yang bertanyakan mengenai sama ada dia dijemput menghadiri acara berkenaan.

“Salam bang Pyan, ada dapat jemputan tak untuk Anugerah Skrin?” katanya.

Dan pertanyaan itu dijawab begitu ringkas tetapi membawa maksud tersirat.

“Wassalam. Tak. Orang macam abang siapalah nak jemput,” ujarnya berseloroh.

Pyanhabib kemudian menulis lagi: " Gua tidak dijemput. Takut gua 'kencing' atas pentas la tu. Keh keh keh!"

Lihat Komen
ADS