Sahihkah Siti berbadan dua?
Biarpun tidak menafikan mahupun mengeyakan spekulasi yang berkisar mengenai dirinya, beberapa faktor sekeliling memberi gambaran penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sudah berbadan dua.
"Sumber rapat" keluarga Siti Nurhaliza pula dilaporkan memberi pengesahan tentang berita baik itu.
Seperti dipetik mStar , penyanyi Terbaik Bagimu itu didakwa sudah hamil sejak dua bulan lalu.
Anak kelahiran Temerloh, Pahang itu berkahwin dengan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa pada 2006 dan khabar mengenai 'kehamilan' beliau sudah beberapa kali dilaporkan - dan beberapa kali juga dinafikan.
Seandainya berita kehamilan itu benar dan keadaan berterusan baik, Siti Nurhaliza dijangka bersalin sekitar Jun atau Julai tahun depan.
Minggu lalu, Siti - bergandingan dengan Datuk Ramli Sarip dan Hetty Koes Endang - mengadakan konsert Satu Suara Volume 2 di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
A photo posted by SitiNurhaliza Tarudin (@ctdk) on
Ketika itu pun sudah tercetus soseh-soseh mengaitkan beliau dengan kehamilan.
Pada malam pertama konsert itu berlangsung, Hetty Koes Endang menunjukkan isyarat tangan ke arah perut Siti sambil melarangnya daripada terus menari di pentas.
Hetty juga sempat bergurau untuk memberikan hadiah mikrofon paling mahal kepada Siti Nurhaliza.
Semalam beliau juga tidak hadir di majlis keraian diadakan anak tirinya di Palembang, Indonesia, didakwa media negara itu atas alasan kesihatan.
Asyraf Khalid baru saja bernikah dengan pelakon Indonesia, Tya Arifin, dan mengadakan sambutan untuk tetamu di sebuah hotel di bandar raya berkenaan.

