Teka-teki cinta Gwen, Shelton
Spekulasi hubungan cinta antara penyanyi Gwen Stefani dan Blake Shelton sering saja menimbulkan persoalan.
Dan dalam satu slot bual bicara program Frankie and Geena Morning Show bersama Gwen di San Diego, sekali lagi Gwen ditanya mengenai soalan sama.
Semasa penyanyi berusia 46 tahun itu diajukan soalan sama ada album terbarunya berkisar tentang hubungan cinta barunya, ini reaksi Gwen: “Saya tidak pernah memberitahu sesiapa saya sedang bercinta,” katanya.
Menurut bekas vokalis kumpulan No Doubt itu, disebabkan perkara demikian sering menarik minat ramai, anak-anaknya juga bertanyakan hal sama.
Gwen mengakui hal itu membuatkannya berasa tidak selesa.
Sebenarnya, hubungan antara Gwen dan Shelton didedahkan sendiri oleh sumber yang rapat dengannya.
Pernah juga media merakamkan aksi mereka berjalan sambil berpegangan tangan selepas menghadiri satu majlis di Nashville minggu lalu.
Kurang dari enam bulan lalu kedua-dua juri rancangan televisyen The Voice itu baru saja memfailkan perceraian mereka dengan pasangan masing-masing.
Gwen mendirikan rumah tangga selama 13 tahun bersama vokalis Bush, Gavin Rossdale dan dikurniakan tiga orang anak Kingston, 9, Zuma, 7, dan Apollo, 20 bulan.
Hubungan itu berakhir selepas Gwen mendakwa Rossdale berlaku curang dengan pengasuh anaknya.

