Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz menggesa supaya kerajaan mengambil kira faktor syariat Islam dalam isu penapisan filem terutamanya filem dari luar negara.

Anggota parlimen Pasir Mas itu berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi memastikan golongan muda tidak terpengaruh dengan apa yang disiarkan dalam sesebuah filem, lapor Harakahdaily .

"Kebanyakan filem dari luar negara boleh merosakkan akhlak golongan muda kerana mereka mudah terpengaruh dengan apa yang ditayangkan pada filem tersebut.

"Kita mahu agar kerajaan terutama Lembaga Penapisan Filem (LPF) menekankan isu ini dengan meletakkan garis panduan yang lebih Islamik," katanya dipetik sebagai berkata.

Selain itu, Nik Abduh berkata, walaupun terdapat teguran daripada menteri yang meminta agar LPF tidak berfikiran sempit dan mengkaji semula garis panduan penapisan filem, namun beliau berkata, kerajaan sepatutnya konsisten dalam isu membabitkan perkara tersebut.

"Ada kenyataan menteri yang menegur pihak LPF agar tidak berfikiran sempit dan perlu mengkaji semula garis panduan penapisan bagi penerbitan drama atau filem.

"Kerajaan perlu konsisten dan tidak berlawan arus dalam isu membabitkan penapisan filem," katanya lagi.