Bagi sesiapa yang melihat Vanessa, tanggapan mudah ialah - dia gadis berdarah Cina. Namun jika diteliti pada namanya, ternyata darah yang mengalir di tubuhnya tidak sekadar "Cina".

Nama sebenar Vanessa ialah Vanessa Tevi Kumares. Dan dia mengaku memiliki darah kacukan Cina dan India.

"Ia kadang-kadang menimbulkan kekeliruan khususnya apabila berhadapan dengan orang dari negara luar," katanya.

Ditemui Malaysiakini, pemenang pertandingan ratu cantik Miss Universe Malaysia 2015 itu berkata, walaupun perlu membuat penjelasan lanjut ia sebenarnya membanggakan kerana dapat bercerita lebih mendalam mengenai dirinya.

“Ada orang yang tidak faham apabila mengetahui saya berdarah kacukan Cina dan India. Biasanya mereka akan bertanya lagi kemudian sama ada saya berasal negara China atau India.

“Ia persoalan yang bagus kerana saya boleh membuat penjelasan dan ia mewakili kedua-dua etnik yang ada dalam negara kita,” katanya.

Ambil positif saja

Namun, mungkin tidak semuanya dapat digambarkan sebagai "menggembirakan" kerana pada masa sama Vanessa turut terkena tempias daripada komen negatif segelintir pengguna maya.

Berdasarkan semakan Malaysiakini terhadap akaun Facebook dan Instagram peribadi Vanessa, dia juga menjadi seorang daripada mangsa 'pahlawan papan kekunci' (keyboard warrior).

Bagaimanapun, Vanessa memahami bahwaa itu adalah ‘harga’ untuk menjadi seorang ikon. Justeru dia mengajar dirinya supaya tidak cepat melatah mahupun berkecil hati untuk perkara yang dianggap remeh.

“Mereka tidak mengenali saya. Saya benar-benar bekerja keras untuk sampai ke tahap ini.

“Secara jujur, saya tidak membaca komen dan tidak akan memberi respon untuk perkara biadab.

“Saya hanya akan ambil yang positif saja, dan paling penting adalah nasihat daripada keluarga dan rakan,” katanya.

Semalam, Malaysiakini menyiarkan temuramah bahagian pertama bersama Vanessa. Dalam pertemuan itu dia bercerita mengenai perubahan dirinya sejak menjadi juara Miss Universe Malaysia dan bakal mewakili negara ke Nevada, AS bulan depan.

Menyentuh mengenai perancangan selepas pertandingan itu, Vanessa yang gemar melancong dan aktiviti lasak itu berkata, dia akan sentiasa melangkah setapak ke hadapan dalam usaha untuk lebih maju.

Dia juga tidak menolak seandainya diberi peluang untuk mengembangkan bakat dalam bidang pengacaraan terutama jika ia membabitkan program bertemakan pelancongan.

Siri 1 - Miss Universe: Vanessa sedia hadapi cabaran