Perkembangan genre rock yang dilihat mengalami fasa mendatar sejak kebelakangan ini dan tudingan negatif sesetengah masyarakat membuat komposer dan vokalis Spider, Tam kecewa.

Tam atau nama asalnya Rustam Mustafa bukan menyalahkan, tetapi menganggap dia 'dahaga’ untuk melihat kembali usaha positif dilakukan terhadap aliran muzik itu.

Bercakap kepada Malaysiakini , penyanyi berusia 42 tahun itu sebenarnya mahu peminat seni bukan sekadar menilai muzik rock, malah mendalami keistimewaan muzik yang satu ketika dulu menjadi fenomena.

“Mungkin ramai yang tidak tahu apa sebenarnya rock. Sesetengah orang menganggap rock adalah rock, tetapi sebenarnya ia tidak begitu.

“Rock ada pelbagai cabang seperti folk, progresif, emo, punk rock, grunge, ballads dan banyak lagi,” katanya.

Tam ditemui ketika sidang media pengumuman program Rockers di Cyberjaya baru-baru ini.

Selain Tam, Spider yang ditubuhkan pada 1996 dianggotai tiga lagi pemuzik - Tony (basis), Hanafi (gitar) dan Ayie (drum).

Selain membawa lagu berirama rock, Tam turut memainkan muzik dengan pengaruh ska.

Ideologi kumpulan rock

Spider pernah memenangi anugrah Album Terbaik Anugerah Industri Muzim (AIM) pada 2012.

Kata Tam, sejak sekian lama dia terkilan kerana sebahagian peminat rock tidak mempunyai sumber maklumat mencukupi, malah mungkin terlalu bergantung kepada Internet semata-mata untuk mencari bahan rujukan.

Sebaliknya, kata Tam, peminat muzik genre rock wajar memperbanyakkan bahan bacaan dari pelbagai sumber, termasuk buku atau majalah.

Pada masa sama, ada masalah lain juga.

"Dari zaman 1970-an hingga sekarang, tiada satu ensiklopedia mengenai rock dihasilkan. Jadi bagaimana kita hendak terdedah kepada maklumat yang lengkap? Tekan Google memang boleh, tetapi tidak semuanya ada di situ," katanya.

Bagi Tam sendiri, dia banyak membeli bahan bacaan seperti ensiklopedia dari luar negara.

Dalam bahan bacaan itu, kata Tam, dia boleh mendapat maklumat lengkap mengenai pelbagai kumpulan rock sedunia, serta ideologi yang diperjuangkan.

Tam juga memberi contoh filem School of Rock lakonan Jack Black sebagai bahan yang banyak memberi pengajaran.

Rock amat bernilai

Sementara itu, kata Tam, muzik rock sering dilabel oleh segelintir pihak sebagai pembawa unsur negatif seperti penyalahgunaan dadah dan seks rambang.

Mereka, katanya, aalah pihak yang gemar membawa kontroversi, bukan komen yang membina.

"Kami pemuzik rocker berasa kasihan sebab umum tidak tahu apa sebenarnya rock kerana tiada ilmu. Mereka sangka rock hanya berkisarkan kepada keganasan saja.

"Di sebalik itu, rock ada benda yang amat bernilai. Bayar beratus ribu pun takkan dapat kerana ia sememangnya proses yang perlu dipelajari sendiri," katanya.

Mengenai perkembangan terkini karier Tam, dia diundang sebagai juri tetap rancangan realiti televisyen Rockers.

Program itu bertujuan mencari bakat baru untuk menjadi vokalis dan bersiaran secara langsung menerusi HyppTV bermula 23 November (jurnal harian) dan 29 November (konsert mingguan).

Selain itu, Spider juga dijangka akan mengeluarkan album terbaru yang menampilkan 10 lagu selewat-lewatnya tahun depan.