Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Dalam riuh rendah ketawa serta sesekali tepukan penonton dalam Panggung Sari di Istana Budaya, jenaka Mak Cun dan orang kampungnya bukan komedi biasa.

Bersama suka duka Mak Cun mahu ke London untuk memasarkan bedak sejuk, Erma Fatima menyelitkan jenaka yang membawa perancangan jangka panjang.

Justeru apabila pementasan Mak Cun berakhir penonton sepatutnya pulang bukan hanya dengan rasa gembira dan seronok ketawa, sebaliknya memahami mesej yang disampaikan.

Menerusi telefilem Spain Uolls yang disambut baik penonton, Erma berkata dia mahu meneruskan legasi Mak Cun sebagai orang kampung yang gigih membantu usahawan desa mengembangkan perniagaan.

“Bermula dari Spain Uoolss , saya mengembangkan watak yang ada dalam telefilem itu dengan menjadikan Mak Cun sebagai ikon usahawan desa.

“Saya mahu ia menjadi realiti, bukan setakat berniaga dalam drama mahupun teater saja,” katanya kepada Malaysiakini.

Erma ditemui pada malam keempat teater Mak Cun di Istana Budaya malam tadi.

Produk berbinkan Mak Cun

Dan melalui pemerhatian Malaysiakini , ada beberapa produk yang mendapat tempat di ruang legar Istana Budaya, seperti bedak sejuk, biskut dan baulu.

Kata Erma, berlandaskan falsafah mahu memajukan usahawan desa itulah, dia mahu membantu golongan berkenaan meluaskan pasaran produk mereka menggunakan jenama Mak Cun.

Katanya, perlu ada produk yang 'berbinkan' Mak Cun di pasaran.

"Kami akan keluarkan macam-macam produk demi membantu usahawan desa. Apabila ia menjadi kenyataan nanti, usahawan itu adalah Mak Cun dan bukan Erma Fatima,” katanya.

Menurut kakak kepada Umie Aida Rahmad itu, usahawan yang menyertai perniagaan di bawah jenama Mak Cun dari dari pelbagai tempat seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Kedah.

Kata Erma, dia mengambil masa selama dua bulan untuk mengumpulkan produk yang akan dijual dan dijangka dipasarkan selepas siri Mak Cun musim kedua menemui peminat pada Februari tahun depan.

Teater Mak Cun yang dipentaskan di Istana Budaya dari 14 hingga 22 November itu adalah kesinambungan telefilem Spain Uoolss dan drama bersiri Ajaibnya Cinta yang disiarkan menerusi TV3.

Dan pada Julai lalu, ia menemui penonton sebagai drama bersiri dengan menampilkan sembilan episod.

Ia mengisahkan seorang wanita berusia 50-an berasal dari Kodiang, Kedah yang memasang impian untuk menjadi usahawan berjaya.

Teatar Mak Cun turut dijayakan pelakon terkenal, Datuk Rahim Razali, selain Umie Aida sendiri.

Persembahan Umie Aida malam tadi juga nampak lebih ceria apabila salah seorang penonton yang hadir adalah tetamu istimewa - suami beliau sendiri.

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan tiba bersama bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Sanusi Junid.

Kurang dari 12 jam sebelum itu, Khairuddin baru saja dibebaskan dari penjara apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan dia bersama peguamnya, Matthias Chang, diikat jamin.

Khairuddin dan Chang sebelum ini ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana menghadapi tuduhan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Mak Cun akan gagal

Sementara itu, menurut Erma, pihaknya berbesar hati jika usaha membantu usahawan desa itu mendapat kerjasama daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Saya berharap sekiranya dapat bekerjasama dengan MARA dan dapatkan produk usahawan dari mereka, tetapi kami belum mendapat kata putus (daripada mereka) lagi,” katanya.

Mengenai musim kedua siri Mak Cun di televisyen, Erma berkata, ia akan kembali dengan menampilkan perit getir yang terpaksa dilalui wanita kematian suami itu sebagai usahawan.

“Pada musim kedua Mak Cun, saya akan menggagalkan dia kerana sifatnya yang terlalu mudah mempercayai seseorang dalam perniagaan.

“Kepercayaan saja tidak mencukupi kerana seorang peniaga itu harus tahu selok-belok untuk berjaya dalam perniagaan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS